TiaDa KaTa SeiNdaH BaHAsA...SelamAt DaTanG ke PenaMaNja.BloGsPot.CoM

Isnin, 10 Jun 2013

AKTA DERHAKA WAJAR DILAKSANA

Views
KUALA LUMPUR 9 Jun - Cadangan penggubalan Akta Derhaka wajar dilaksanakan segera kerana undang-undang khas tersebut tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Presiden Gagasan Melayu Perak (GMP), Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, akta itu dapat memperkukuhkan kedudukan dan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu.
Menurutnya, Seri Paduka dan raja-raja Melayu perlu dilindungi daripada terus dihina dan dicaci, khususnya oleh mereka yang semakin lupa asal-usul.
"Segelintir rakyat yang suka menghina perlu membaca kembali sejarah asal-usul mereka bahawa tanpa persetujuan dan ehsan daripada raja-raja Melayu, tidak mungkin bangsa lain dapat hidup selesa di sini.
"Saya yakin majoriti orang Melayu dan warganegara Malaysia akan menyokong cadangan mewujudkan Akta Derhaka supaya hukuman lebih tegas dapat dikenakan kepada mereka yang secara sengaja menghina raja-raja Melayu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas cadangan Datuk Mohd. Noor Abdullah agar Akta Derhaka diwujudkan bagi membendung gejala menghina institusi diraja.
Bekas Hakim Mahkamah Rayuan itu turut mencadangkan hukuman minimum kepada pesalah jenayah menderhaka kepada raja itu nanti mestilah ditetapkan tidak kurang daripada dua tahun penjara.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad turut bersetuju agar Akta Derhaka itu digubal segera.
Tegas beliau, undang-undang tersebut dilihat perlu pada masa sekarang memandangkan ada rakyat yang semakin berani menghina raja-raja Melayu secara terbuka.
"Jika ada undang-undang yang lebih tegas sudah pasti gejala itu dapat dibendung daripada terus berulang pada masa hadapan," ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia 10/6/13



MEDIA SOSIAL PERLU ADA LESEN

Views
KUALA LUMPUR 4 Jun - Kerajaan diminta mewujudkan undang-undang baharu dengan mewajibkan pengendali media sosial serta portal berita di negara ini mempunyai lesen seperti di Singapura dalam usaha membendung budaya fitnah serta menghasut menerusi saluran itu.
Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, peraturan itu diyakini mampu melindungi pengguna media sosial daripada terpengaruh dengan penyebaran maklumat tidak benar serta berunsur hasutan.
"Jika semua portal perlu mempunyai lesen atau setidak-tidaknya berdaftar, pastinya lebih mudah kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita-berita palsu atau berbentuk menghasut.
"Sudah banyak negara yang melaksanakan peraturan seperti itu dan langkah tersebut dilihat berkesan dalam usaha membendung laman sosial menjadi ejen musuh bagi meruntuhkan kestabilan sesebuah kerajaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam berkata, kerajaan tidak akan terburu-buru membuat keputusan dan mencontohi penguatkuasaan dilakukan negara jiran itu dalam membendung budaya fitnah menerusi media sosial.
Baru-baru ini, Singapura menerusi Lembaga Pembangunan Media negara itu mengumumkan peraturan pelesenan bagi laman web berita termasuk portal Yahoo! tempatan akan tertakluk seperti dikenakan terhadap media tradisional.
Dalam pada itu, Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Dzukarnain Taib juga menyokong sekiranya kerajaan mahu mewajibkan portal berita di negara ini didaftar atau dilesenkan.
Tegas beliau, langkah itu wajar dilaksanakan kerana terlalu banyak portal berita serta laman blog yang didapati aktif menjalankan aktiviti memecah-belahkan masyarakat serta menggugat kestabilan politik negara.
"Sudah tiba masanya bagi kerajaan bertegas bagi menghentikan budaya benci, fitnah dan tohmah daripada disebar luas oleh portal berita yang tidak beretika.
"Sehubungan itu, peraturan itu perlu diwujudkan supaya portal-portal berita lebih bertanggungjawab dalam menyalurkan maklumat bagi menjamin asas perpaduan kaum dan keharmonian negara terus terpelihara," ujarnya.


Sumber : Utusan Malaysia 5/6/13