TiaDa KaTa SeiNdaH BaHAsA...SelamAt DaTanG ke PenaMaNja.BloGsPot.CoM

Isnin, 15 April 2013

MENGENALI PERMANENT 'HEAD DAMAGE'

Views

Apabila manifesto BN dilancarkan pada 6 April, heboh satu dunia, katanya BN tiru manifesto PR. Saya tidak nampak ada 'copycat' di situ. Jika pun ada, 'so what?' Kata orang putih, benda baik, apa salahnya dikongsi. Dalam Islam, tidak salah, malah digalakkan.
Kenapa semuanya mesti bersangka buruk. Jenis masyarakat apakah yang ingin kita lahirkan? Semua orang buat tidak betul. Kita sahaja yang betul. Betulkah kita? Terdapat pro dan kon dalam apa jua keadaan bagi sesiapa mendahului dan mereka yang melewati (kemudian) dalam apa jua bidang.
Apa yang mendahului, mereka menjadi 'champion' atau 'pioneer'. Bagi mereka yang melewati, adalah peluang melihat kelemahan orang yang memulakan dan memperkemaskan kelemahan, jika ada.
Sama seperti isu ciptaan telefon. Jika Barat yang mendahului, tidak salah negara lain mengikuti. Syarikat Samsung (Syarikat Telekomunikasi Korea Selatan) yang didakwa menciplak paten telefon bimbit Apple, Iphone.
Akhirnya, syarikat Sambung disaman. Setelah didapati ‘bersalah’, Samsung membayar saman tersebut dengan menghantar 30 truk lori berisi siling lima sen bernilai US$1.05
bilion kepada ibu pejabat Apple, di California. Jika perbicaraan ini dilakukan di negara timur, keputusannya mungkin berbeza.
Persoalan ini adakah Korea Selatan melakukan dosa besar? Saya rasa bangga Samsung bertindak sedemikian untuk mengajar kebongkakan Amerika. Sama juga kes Thailand menciplak jenama-jenama antarabangsa. Adakah tindakan Thailand itu satu jenayah? Siapa meniru siapa? Apatah lagi diberikan suntikan inovasi dan transformasi.
Maka tidaklah mengejutkan jika Timbalan Perdana Menteri berkata, PR meniru manifesto BN. Sebenarnya, manifesto PR memperbaiki ‘kelemahan’ BN memerintah selama ini. Isu yang dibangkitkan adalah isu biasa, cuma diberikan sedikit suntikan kosmetik.
PR sudah tentu menganalisis apa yang dilakukan oleh BN selama ini dan mengemas kini manifesto mereka. Dalam makna, asas-asas BN sedia ada dijadikan landasan untuk membuat manifesto. Tidak pula laman ultra kiasu kata ini 'copycat'.
PR mendahului BN melancarkan manifesto PRU13 pada 25 Februari, berbanding BN 6 April. Jadi, tidak salah jika BN mengambil kira perkara-perkara yang disebutkan PR dan diberikan suntikan kosmetik.
Setelah meneliti manifesto BN, uniknya ada. Manifesto BN menggariskan apa yang telah dibuat sebelum ini, dan apa akan dibuat dalam tempoh 5 tahun akan datang, jika berjaya mengekal kuasa. Memang nampak lebih komprehensif daripada manifesto PR. Jadi, apa masalahnya? Lebih serius lagi, PR mendakwa tema manifesto BN (Membawa Harapan)
juga 'copycat' tema Pakatan Harapan Rakyat.
Perkataan ‘harapan’ menjadi masalah, seolah-olah perkataan ini bapak kita yang punya. Manifesto BN dakwanya lagi tidak mempunyai roh reformasi yang amat diperlukan untuk
merubah sistem yang bobrok.
Benar, manifesto BN tidak ada roh reformasi, kerana reformasi berbeza dengan transformasi. Manifesto BN membawa roh transformasi, bukan reformasi. Reformasi hanya sesuai
kepada golongan 'permanent head damage' atau Phd. Inilah yang berlaku dalam Bersih 2 dan 3. Pengikut-pengikut fanatik menjadikan keadaan kelam-kabut.
Unit amal yang sepatutnya beramal sudah tidak beramal. Saya harap tidak wujud lagi PhD ini. Kenapa kita tidak profesional seperti di negara Barat? Mereka bersangka baik
antara satu sama lain tidak kira lawan atau kawan. Kita pula tidak habis-habis membalas dendam dan menjahanamkan lawan.
Lihatlah betapa profesionalnya orang Barat. Apabila Senator John Mc Cain kalah kepada Obama dalam Pilihan Raya Presiden Amerika pada 2008. Mc Cain berkata "Senator Obama has achieved a great thing for himself, and for his country... I urge all Americans who supported me to join me in not just congratulating him, but offering our next
president our goodwill and earnest effort to find ways to come together.”
Jangkaan saya selama 13 kali kita melalui PRU demi PRU, corak dan paten kita berfikir akan berubah kepada keadaan lebih baik. Tetapi nampaknya, tidak begitu. Semakin dunia tua, pemikiran tidak ikut sama tua (matang) tetapi semakin melahirkan ramai Phd.
Tidak ada guna reformasi, jika pemikiran kita tidak ditransformasikan. Phd ini berada di mana-mana termasuk dalam BN. Cubalah belajar mengenali dan menghindarkannya. Moga-moga kita menjadi negara maju.
Oleh: Ridzuan Tee Abdullah
Sinar Harian 15/4/13