TiaDa KaTa SeiNdaH BaHAsA...SelamAt DaTanG ke PenaMaNja.BloGsPot.CoM

Jumaat, 23 November 2012

KERANA KUASA, DOA JADI SENJATA POLITIK

Views
DOA adalah alat untuk menjalin hubungan komunikasi langsung antara manusia sebagai hamba dan Allah SWT sebagai Pencipta. Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang memerintahkan agar manusia berdoa kepada Tuhannya.
Antara lain firman Allah SWT: "Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan dengan (suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas". (Surah al-A'raf ayat 55).
Impak dari doa ini akan munculnya proses tunduk secara tulus dalam erti kata melenyapkan 'ego' atau individualisme dalam diri kita . Semakin kita sering berdoa maka semakin dalam pula proses pelenyapan ego dan individualisme dalam diri kita.
Sejak memperoleh sedikit kemenangan dalam pilihan raya umum lalu, ada dalam kalangan pembangkang sanggup menggunakan apa sahaja kaedah bagi merealisasikan politik matlamat menghalalkan cara. Bermula dengan kempen memburuk-burukkan personaliti pemimpin dan parti yang menang, menggalakkan tunjuk perasaan, melancarkan serangan saraf hinggalah menyalahgunakan kepentingan doa.
Penyalahgunaan hakikat dan erti penting doa bermula pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada Ogos 2008, ketika beberapa orang ulama memimpin munajat, sembahyang hajat dan berdoa untuk membutakan mata beberapa orang pemimpin kerajaan, termasuk bekas Ketua Polis Negara dalam majlis di Masjid Bandar Baharu Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Setahun berikutnya, berlaku sekali lagi seorang yang dianggap Tok guru meminta agar rakyat melakukan sembahyang hajat dan berdoa secara berjemaah untuk melaknatkan kepimpinan dan barisan pemerintah sedia ada kerana mahukan pembayaran royalti minyak diberikan kepada kerajaan negeri dan bukannya digantikan dengan wang ihsan.
Minggu lalu, umat Islam negara ini dikejutkan dengan telatah seorang yang berpengetahuan luas dalam agama tetapi menyalahgunakan hakikat doa untuk 'membalas dendam' agar Allah SWT mengkabulkan harapan pakatan pembangkang pukulan K.O. terhadap pemerintah masa kini dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.
Sedangkan isi doa haruslah mengandungi perkara kebaikan. Kita dilarang berdoa memohon perkara-perkara yang merosakkan serta mencelakakan, baik terhadap diri sendiri mahupun orang lain. Hal ini dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Janganlah kamu mendoakan kecelakaan untuk dirimu, anak-anakmu, pembantumu dan harta bendamu. Boleh jadi permintaan yang demikian tepat dengan saat dikabulkannya permintaan secara langsung oleh Allah". - (Hadis riwayat Abu Daud).
Doa dengan tujuan memusnahkan orang tersebut dianggap sebagai satu bentuk doa yang tidak wajar dilakukan oleh orang Islam kerana tidak dilakukan secara berhemah seperti memohon kepada Allah SWT untuk "melembutkan hati yang keras" sekiranya benar telah berlaku kezaliman sepanjang 55 tahun kebelakangan ini.
Dari perspektif Islam, Allah SWT sentiasa menyuruh setiap Muslim agar berdoa dan memohon restu daripada-Nya. Allah SWT juga berjanji akan memperkenankan setiap permohonan yang diminta oleh hamba-Nya, asalkan doa itu bukan untuk menganiayai orang lain atau membalas dendam, yakni bukan keinginan negatif.
Setiap kali selepas bersembahyang, setiap Muslim digalakkan berdoa bagi mensejahterakan setiap Muslim kerana mereka adalah bersaudara. Dengan sifat yang positif, setiap Muslim mengharapkan perkenan dan rahmat-Nya.
Rasullullah SAW mengingatkan manusia bahawa doa adalah ibadat, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada riwayat al-Nu'man Ibn Basyir, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya doa itu adalah ibadat."
Daripada Aisyah r.a., al-Bazzar, al-Tabrani dan al-Hakim meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Persediaan dan berhati-hati tidak mampu mengatasi takdir Allah, manakala doa berguna untuk mengatasi apa yang ditakdirkan dan apa yang akan dilaksanakan, sesungguhnya ujian Allah akan diturunkan dan akan berjumpa dengan doa yang telah diminta, lalu kedua-dua saling bertarung sehingga Hari Kiamat."
Doa telah disyariatkan oleh Allah SWT kepada setiap orang Islam dan perlu dilakukan sepanjang masa untuk mendapat restu dan rahmat-Nya. Makna daripada kerahmatan Allah SWT ialah untuk kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan keseluruhan ummah.
Maknanya, jika doa itu ditujukan untuk menghancurkan sekelompok orang Islam, ia adalah satu tindakan yang tidak wajar kerana hanya untuk kebaikan diri dan bukannya kebaikan untuk seluruh umat Islam.
Allah SWT tidak mensyariatkan kepada orang Islam untuk mendoakan kemusnahan dan kehancuran sesama Islam. Bahkan, Rasulullah SWT telah bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia mencintai saudaranya (seagama) seperti mana ia mencintai dirinya sendiri."
Sepanjang hayat Rasulullah SAW melaksanakan dakwah dengan kata-kata yang manis dan perilaku sederhana, tidak menggalakkan sebarang bentuk kemusnahan sama ada dalam kata-kata ataupun tindakan.
Ketika berhadapan dengan penolakan dakwah oleh penduduk Taif, Rasulullah SAW diberikan pilihan oleh malaikat yang menjaga urusan bukit-bukau. Malaikat hanya perlukan arahan daripada Rasullullah SAW untuk memusnahkan mereka yang degil, malaikat akan campakkan bukit bukau itu bagi memusnahkan kedegilan penduduk Taif itu.
Bagaimanapun, Rasullullah SAW menolak pilihan itu tetapi terus mengharapkan agar Allah SWT melembutkan hati mereka dan dilimpahkan kebaikan. Mungkin pada suatu hari generasi keturunan mereka akan dilahirkan dan beriman kepada Allah SWT.
Rasullullah SAW berdoa: "Wahai Tuhanku, berilah hidayah dan petunjuk-Mu kepada kaumku, kerana mereka tidak mengetahui." Nyatalah pendekatan yang diambil oleh Rasullullah SAW adalah bertentangan dengan sikap para pemimpin Pas yang mendakwa diri mereka sebagai ulama. Pada anggapan umum, ulama adalah "pewaris nabi" maka, tindakan yang dilaksanakan oleh ulama politik itu bukanlah tindakan yang diwariskan daripada Rasullullah SAW.
Rasullullah SAW tidak mewariskan 'doa laknat', 'doa kemusnahan' Doa-doa yang dilakukan itu adalah senjata politik yang terdesak dilakukan oleh ulama politik demi kuasa, akhirnya doa itu pulang ke pangkuan mereka sendiri sebagai 'karma politik'.
Menggunakan doa sebagai senjata politik adalah sikap mereka yang membudayakan kehidupan yang zalim dan melampau, kerana Rasullullah SAW tidak pernah mendoakan musuhnya menjadi 'buta', 'musnah' dan 'ditumbangkan'. Hanya dilakukan oleh Rasullullah SAW, mereka yang bermusuh itu 'dilembutkan hatinya'.
Menerusi kelembutanlah Islam akhirnya muncul sebagai agama kedua terbesar dari segi jumlah penganutnya. Itulah hakikat sebuah dakwah yang diajar oleh Rasullullah SAW dan bukannya menyanjungi pendekatan politik yang dilakukan oleh ulama kemaruk kuasa dan terdesak nak tutupkan kelemahan sendiri.
OLEH:DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Khamis, 22 November 2012

PAS ANGKUH KEMARUKKAN KUASA!!!

Views

MENGIKUTI perjuangan Pas sejak awal sehingga kini nampak jelas perubahan ketara dalam hala tuju perjuangan.
Pada zaman Abu Bakar Bakir, Burhanuddin Al-Helmi dan Zulkifli Muhammad perjuangan Pas adalah untuk agama, bangsa dan negara. Moto ini kalau digunakan sekarang Nik Abdul Aziz akan menganggapnya sebagai moto asabiyah, kaumiyah dan rasis.
Ketika zaman revolusi Iran memuncak Pas mengambil pendekatan radikal sehingga ramai pengikutnya ke Iran untuk meniru cara revolusi Iran terjadi. Ramai orang Pas dan pengikutnya termasuk dikatakan Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu juga pendukung faham Syiah.
Pada zaman pakatan pembangkang, Pas menjadi lebih berkecamuk kerana antara kuasa politik dan agama, ghairah ke Putrajaya ternyata lebih unggul. Kalau dulu Abdul Hadi Awang pernah mengkafirkan UMNO kini DAP yang jelas kafirnya menjadi rakan sekutu Pas. Ibarat ludah ke langit tertimpa semula ke muka sendiri.
Oleh kerana ghairah ke Putrajaya, Pas sudah tidak peduli lagi isu pokok dalam perjuangan Islam. Tahalluf siasi yang sepatutnya berlaku dalam kalangan sesama Islam tersongsang kepada kelompok yang bukan Islam iaitu DAP.
Lalu justifikasi diberi untuk menyakinkan khalayak bahawa DAP adalah lebih baik kerana UMNO adalah syaitan dan Firaun seperti kata Abdul Hadi.
Keghairahan itu semakin terangsang dengan tampilnya Anwar Ibrahim sebagai tokoh utama. Karpal Singh dalam Parlimen pernah menyatakan Anwar 'kaki liwat' dan dia punya cukup bukti. Mat Sabu menyebut Anwar sebagai 'al-juburi' kerana Anwar dalam kerajaan memiliki kaset perbualan Mat Sabu-Normah.
Atas pertimbangan apa Pas boleh menerima DAP sebagai rakan sepasukan sedangkan Karpal Singh secara terang-terangan menolak gagasan Negara Islam dan Hudud.
Atas pertimbangan apa pula Pas boleh menerima Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedangkan integriti Anwar tercemar kerana kenyataan Karpal Singh, Mat Sabu dan dakwaan banyak pihak terhadap isu moralnya.
Kerana terlalu bencikan UMNO dan ingin ke Putrajaya menyebabkan Pas membina 'nafsul amarah' yang luar biasa sehingga membelakangkan prinsip kebenaran.
Sikap benci dan dendam ini bukanlah ajaran Islam. Ia adalah penyakit 'nafsul amarah' yang membuak-buak sehingga rasa taksub yang tinggi terpancar dalam doa untuk menghancurkan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya akan datang.
Seperti yang berlaku pada masa lalu, solat hajat digunakan secara tidak adil untuk membela pemimpin terjadi dan bercanggah syariat. Akibatnya semakin banyak rahsia terbongkar. Apakah Allah tidak mendengar permintaan mereka?
Kalaulah doa yang angkuh dan bernafsu besar itu tidak diizinkan Allah, malah UMNO/BN menang besar apakah ia petanda doa mereka tidak makbul? Pas jangan cakap sombong kepada UMNO dan UMNO tidak pernah mendoakan Pas supaya hancur.
Menyatakan UMNO macam firaun, zalim dan syaitan adalah ungkapan yang terlalu ekstrem dan sukar diterima kerana ia bercanggah dengan fakta. Ia adalah dorongan sifat angkuh akibat gila kuasa yang luar biasa.
Pas kena ingat politik bukan segala-gala. Sewaktu membina impian ke Putrajaya dengan DAP dan PKR, musuhnya UMNO dikecam habis dengan gelaran yang tidak berlapik. Dalam politik tidak ada kawan yang kekal.
Keadaan boleh berubah. Apakah Pas akan menjilat balik apa yang dicakapkannya atau kuasa politik umat Melayu bakal hancur.
Pas amat memahami, golongan hardcore atau kelompok yang bakar tak hangus dan direndam tak basah tidaklah ramai. Dalam politik pengundi terdiri daripada simpatisan dan orang atas pagar.
Khalayak ramai, baik simpatisan dan orang atas pagar menilai. Orang Melayu dan UMNO lebih-lebih lagi rasa tersinggung dengan kenyataan UMNO syaitan, firaun dan zalim. Kenyataan ini amat menyinggung banyak pihak dan mendoakan pula supaya UMNO/BN hancur.
Perhimpunan Agung UMNO akan datang diharap jangan jadi medan balas dendam. UMNO harus berjiwa besar. Sultan Kelantan baru-baru ini bertitah dan menyatakan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan. Baginda juga meminta supaya isu air di Kelantan diselesaikan segera.
UMNO/BN harus gagah menyatakan bahawa program pembangunan di Malaysia selari dengan kehendak Islam. Anak-anak pembangkang diberi biasiswa dan biaya untuk belajar dalam negara dan luar negara dengan adil dan banyak lagi. Sampai hati Abdul Hadi dengan angkuh menuduh UMNO firaun, syaitan dan zalim sedang orang luar menganggap Malaysia negara Islam contoh.
P/S: Bila manusia itu kemarukkan kuasa, segala budi manusia lain yang baik dibalas dengan tuba!!!!


Rabu, 21 November 2012

UMAT ISLAM DITINDAS,PAS TERPESONG

Views
SEMASA seluruh umat Islam di seluruh dunia berkabung dengan kematian puluhan umat Islam di Palestin baru-baru ini akibat 466 serangan udara zionis yang tidak berhati perut, di negara ini dua tragedi telah melanda umat Islam. Yang pertama apabila ada pihak yang menafsir surah suci al-Quran dengan menjustifikasikan tindakan umat Islam dan orang Melayu untuk menganut apa sahaja fahaman yang mereka ingini.
Keduanya, apabila wujudnya satu parti politik yang kononnya memperjuangkan kesucian Islam tergamak membuat doa laknat kepada parti melayu dan Islam lain.
Jika kita masih ingat kenyataan Pengasas Pergerakan Islam Palestin 1948, Sheikh Raed Solah, yang dilaporkan dalam suratkhabar keramat orang melayu ini pada 6 September tahun ini. Perkembangan terkini yang melanda dunia Arab termasuk pelantikan Mohammed Morsi sebagai Presiden Mesir yang baru akan membantu kepada perubahan ke arah pembebasan Palestin dan Masjid al-Aqsa.
Mengulas mengenai Malaysia, Sheikh Raed berkata, rakyat negara ini harus bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi hasil daripada perjuangan pemimpin mereka selama ini. Dalam hal ini, beliau mengingatkan rakyat Malaysia bagaimana kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat Palestin akibat dijajah.
Dalam pengkisahannya, beliau berkata, setengah juta rakyat Arab Palestin dipenjarakan, kubur-kubur nenek moyang diceroboh untuk didirikan sekolah manakala masjid dijadikan tempat menjual arak.
Katanya lagi, adakah keamanan dan ketenangan jiwa dapat dirasai sekiranya perkara itu berlaku di negara ini.
Jika kita meneliti kisah Sheikh Raed dan serangan bertali arus zionis ke atas Gaza adakah kita tergamak menggunakan ayat-ayat Allah SWT untuk menjahanamkan umat Islam dan akidah mereka. Sampai bila orang Melayu harus bercakaran demi mengejar Putrajaya dan kuasa yang bersifat fana di dunia ini.
Tidakkah ulama Pas belajar dari tragedi yang melanda Palestin yang bukan berlaku setahun dua tetapi sudah hampir 65 tahun. Tidakkah juga pemimpin yang mempergunakan Islam tidak kira pemimpin Melayu, bukan Islam dan lain-lain Ulama siasah Al-Madrasah berasa bimbang dengan perpecahan yang melanda rakyat negara ini atas nama perebutan kuasa. Lupakah kita siapa yang ingin benar melelong Putrajaya jika parti Pas dapat memerintah negara. Siapa juga yang ingin melaksanakan hudud yang mana dalam masa yang sama kawan-kawan satu pakatan menyuruh mayatnya di langkah dahulu baru ia boleh dilaksanakan.
Lupakah kita siapa yang memerintah Terengganu selama satu penggal namun tidak pun melaksanakan hudud. Lupakah kita siapa yang memerintah Kelantan selama 22 tahun tetapi sesi penerangan hukum hudud dalam kalangan rakyat tidak pernah dilakukan. Bukankah ini satu tragedi kepada umat Islam di negara ini selain tragedi yang melanda umat Islam Palestin. Menjadikan hukum Allah SWT sebagai modal politik tidak bersempadan.
Sepatutnya semasa muktamar mereka baru-baru ini, ulama Pas mendoakan agar orang Palestin diselamatkan dan dilindungi Allah SWT. Sebaliknya ulama Pas memilih untuk mengaminkan doa agar UMNO dan Barisan Nasional dilaknat oleh Allah SWT sebagaimana yang berlaku kepada Abu Lahab dan Firaun.
Adakah selama 55 tahun UMNO menjadi tulang belakang BN, negara kita tidak dirahmati oleh Allah SWT. Adakah selama ini gaji Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri datang dari hasil sumber pentadbiran yang haram?
Ulama dalam Pas harus ingat, doa laknat yang dibaca oleh mereka dan diaminkan oleh mereka akan dipulangkan oleh Allah SWT jika mereka terus bersekongkol dengan penyokong pluralisme dan liberalisme agama. Begitu juga kepada pemimpin mereka yang pantas memberi sokongan kepada kenyataan orang Melayu bebas beragama.
Musuh Islam akan lebih ghairah membunuh umat Nabi Muhammad SAW kerana orang UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menjadi tulang belakang negara Islam Malaysia telah dilaknat mereka hingga tidak dapat lagi memberi bantuan kemanusiaan.
"Ya Allah, mudahkanlah perjalanan Barisan Nasional dan UMNO kekal di Putrajaya, kuburkanlah musuh-musuh Islam dan penyokong pluralisme dan liberalisme agama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 ini (diulang sebanyak tiga kali). Ya Allah...Hukumkanlah musuh-musuh Islam Ya Allah.
"Kalau Kamu pernah tenggelamkan Firaun di dalam laut, Kamu izinkan bumi Mu telan Qarun. Ya Allah... Kamu telah laknat Namrud dan begitu juga Abu Lahab. Maka sungguh mudah untuk Kamu menjahanamkan penyokong pluralisme dan liberalisme agama dalam PRU-13," Amin adanya.
OLEH ABDUL RAZAK IDRIS

Jumaat, 16 November 2012

AKIDAH ISLAM BUKAN IDEOLOGI CIPTAAN MANUSIA

Views
ISLAM adalah agama yang diwahyukan oleh Allah kepada manusia. Setiap perkara berkaitan akidah, syariah dan akhlak adalah berdasarkan kepada panduan Ilahi dan Rasulullah SAW. Setiap ayat al-Quran yang diwahyukan oleh Allah sepatutnya dikaji dan diteliti terlebih dahulu sebelum mengeluarkan pandangan dan fatwa.
Kejahilan terhadap disiplin penafsiran ayat-ayat al-Quran merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan umat Islam sering tersasul dan membuat kesilapan dalam menghuraikan intisari pengajaran al-Quran.
Umat Islam diajar supaya bertawaddu' dalam aspek berkaitan ilmu pengetahuan terutamanya berkaitan dengan ilmu wahyu. Salah tafsir terhadap ayat-ayat al-Quran dan syariah Islam semakin hari kian dipaparkan oleh umat Islam sendiri sehingga perkara berkaitan fundamental ajaran Islam juga ditafsirkan mengikut logik akal dan ideologi perjuangan politik.
Umat Islam yang berfikiran liberal cuba menafsirkan ayat-ayat al-Quran seperti mana penganut agama lain mereformasikan agama mereka. Mereka tidak memahami ilmu wahyu tidak boleh disamakan dengan ideologi yang sentiasa berubah mengikut keadaan dan peredaran zaman. Sikap liberal begini boleh menyebabkan keaslian ajaran Islam tergugat seperti mana berlaku kepada agama Samawi yang lain (agama yang menerima wahyu daripada Allah sebelum Islam di mana intisari ajaran kitab suci dipinda dan diubahsuai mengikut keadaan masa dan zaman).
Golongan fanatik Islam pula menafsirkan ayat-ayat al-Quran dalam konteks pemikiran mereka yang jumud dan radikal sehingga ke tahap mengagungkan ketua kumpulan sebagai wali atau Imam Mahdi. Corak pemikiran begini boleh menggambarkan Islam sebagai agama yang pasif dan ganas.
Sebab dan musabab penurunan ayat-ayat al-Quran perlu difahami secara menyeluruh kerana setiap penurunan wahyu Ilahi itu mempunyai kaitan dengan konteks dan peristiwa yang berlaku ketika itu. Umat Islam yang tidak memahami disiplin penafsiran al-Quran sepatutnya merujuk kepada ahli ilmu yang arif dalam bidang itu supaya kenyataan dan pandangan yang mereka tidak menimbulkan keadaan kemelut di kalangan masyarakat.
Perkara berkaitan ilmu pengetahuan terutamanya ilmu wahyu amat memerlukan kepada proses pembelajaran yang khusus bukan seperti membaca dan menganalisis ideologi ciptaan manusia yang boleh dibahaskan secara bebas mengikut pemahaman masing-masing. Ayat-ayat al-Quran sering dipergunakan oleh kebanyakan ahli politik bagi menyakinkan masyarakat bahawa perjuangan mereka adalah selaras dengan ajaran al-Quran.
Jika prinsip dan objektif perjuangan politik hanya berdasarkan kepada 'perjuangan untuk mendapat kemenangan dan memperolehi kuasa memerintah negara' tanpa menghiraukan kesan negatif terhadap agama, bangsa dan negara, maka ahli-ahli politik beragama Islam akan menafsirkan ayat-ayat al-Quran dengan pelbagai penafsiran mengikut keadaan dan suasana pergolakan parti politik mereka.
Perkara berkaitan akidah adalah ditetapkan oleh Allah. Manusia tidak mempunyai hak meminda hukum hakam tersebut. Ayat al-Quran dalam Surah 2 (al-Baqarah) : 256, yang bermaksud, " Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah. Kerana itu sesiapa yang ingkar kepada Thagut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada genggaman tali yang kuat yang tidak akan putus. Dia Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".
Ayat al-Quran tersebut mempunyai kaitan dengan peristiwa di mana orang Ansar yang beragama Islam memaksa anak-anak mereka yang dipelihara oleh orang Kristian dan Yahudi memeluk agama Islam. Jalaluddin Abd. Rahman Abi Bakr al-Suyuti, dalam bukunya bertajuk al-Dhur al-Manthur fi Tafsir al-Ma'thur menjelaskan ketika zaman sebelum Islam orang-orang Musyrik Madinah amat tertarik dengan personaliti masyarakat Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi). Sebahagian daripada wanita Ansar ketika mengandung, bersumpah untuk menyerahkan anak mereka kepada Ahli Kitab jika anak yang dilahirkan itu hidup.
Al-Sha'bi menceritakan kisah wanita Ansar yang kecewa apabila anak mereka meninggal dunia selepas bersalin. Mereka bersumpah akan menyerahkan anak mereka kepada orang Kristian dan Yahudi serta menganut agama bapa angkat mereka jika anak yang dilahirkan itu hidup. Mereka berpendapat agama ahli kitab adalah lebih baik daripada agama mereka. Apabila Islam tersebar di Madinah, orang Musyrik Madinah memeluk agama Islam. Mereka memaksa anak-anak mereka yang beragama Kristian dan Yahudi memeluk agama Islam. Berdasarkan kepada peristiwa ini maka Allah mewahyukan surah 2 (al-Baqarah): 256 menegaskan bahawa tidak ada paksaan dalam agama. Selepas penurunan wahyu ini maka mereka tidak memaksa anak mereka memeluk agama Islam.
Berdasarkan kepada konteks ayat al-Quran tersebut maka jelas menunjukkan umat Islam tidak dibenarkan memaksa orang bukan Islam menganut agama Islam. Orang bukan Islam yang baru memeluk agama Islam juga tidak dibenarkan memaksa anak-anak mereka menganut agama Islam jika mereka masih yakin dengan agama asal mereka.
Konsep kemanusiaan di dalam Islam adalah terlalu tinggi nilainya di mana hak dan kebebasan manusia dalam agama diperakui. Sedangkan golongan yang memperjuangkan ideologi mengetepikan hak bersuara dan beragama. Setiap individu yang tidak menganuti ideologi mereka akan ditindas dan disiksa. Rumah-rumah ibadah dimusnahkan dan para ulama dan ketua agama dibunuh seperti mana berlaku dalam negara yang mengamalkan ideologi komunis.
Kebebasan beragama yang dimaksud dalam al-Quran ini bukan bererti umat Islam bebas menganut agama lain. Umat Islam tidak dibenarkan memeluk agama lain kerana perbuatan demikian dianggap sebagai satu dosa yang besar.
Setiap ulama sama ada ahli fekah atau teologi berpendapat murtad merupakan kes yang paling serius berkaitan akidah. Perbezaan pendapat di kalangan mereka hanya berkaitan bentuk hukuman sama ada termasuk dalam hukuman had (hukuman tertentu yang ditentukan oleh Allah dalam al-Quran) atau ta'zir (hukuman yang ditentukan oleh negara Islam).
Setiap penganut agama beranggapan bahawa agama mereka adalah benar dan pertukaran agama merupakan satu perkara yang serius. Sejarah menunjukkan kebanyakan agama di dunia menghukum penganut agama mereka yang bertukar agama. Bentuk hukuman terhadap individu yang murtad juga berbeza di antara satu agama dengan agama lain.
Hak kebebasan beragama hanya disuarakan oleh agama tertentu dalam persekitaran abad ke-20 di mana dalam sejarah agama mereka penyiksaan terhadap individu yang menukar agama adalah terlalu berat. Urusan berkaitan akidah sesuatu agama adalah hak kepada penganut agama itu. Agama lain tidak mempunyai hak mencampuri urusan agama lain. Jika sesuatu agama memberi hak yang penuh kepada penganut agamanya bertukar kepada agama lain, maka umat Islam tidak dibenarkan masuk campur dalam urusan keagamaan itu kerana setiap agama mempunyai perbezaan kepercayaan, prinsip dan budaya.
Umat Islam sepatutnya memahami bahawa perkara berkaitan akidah bukanlah perkara yang boleh dikompromi dengan prinsip agama lain. Setiap perkara berkaitan akidah Islam adalah berdasarkan kepada konsep tauhid yang tulen dan sempurna. Ia merupakan satu konsep yang amat ketara perbezaannya dengan agama lain.
Bagi mencapai sebuah negara yang aman dan harmoni setiap penganut agama perlu menghormati prinsip ajaran agama lain. Hak kemanusiaan yang diperjuangkan oleh umat Islam sepatut perlu berlandaskan kepada etika Islam supaya tindak tanduk mereka tidak membangkitkan suasana yang kronik.

Oleh :PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.