TiaDa KaTa SeiNdaH BaHAsA...SelamAt DaTanG ke PenaMaNja.BloGsPot.CoM

Sabtu, 12 Januari 2013

HIMPUNAN #KL112

Views
Lebih kurang dua tahun kebelakangan ini sudah banyak perhimpunan dan demonstrasi jalanan serta pelbagai gimik politik diusahakan oleh pakatan pembangkang disegenap pelusuk negara termasuklah sebahagiannya tertumpu di ibukota Kuala Lumpur.
Terbaru mereka mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) #KL112 atau lebih diingati ramai sebagai Himpunan Menyokong Gadaikan Kalimah Allah Kepada Kristian yang berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 Januari 2013 melibatkan gabungan 4 kumpulan propaganda utama PR.
Empat kumpulan ini terdiri daripada NGO Bersih berwarna kuning fokus pada propaganda anti SPR, kumpulan Hijau tertumpu pada bantahan terhadap kilang nadir bumi Lynas dan Rapid Pengerang, manakala kumpulan Oren pula berusaha untuk memburukkan FELDA serta kumpulan merah, NGO Royalti dari Kelantan.
Atas kepercayaan angka 4 dikalangan masyarakat Cina bermaksud "si" yakni bermaksud "mati" dan dianggap suwey serta membawa sial, maka PR sebagai pihak penganjur membawa masuk satu lagi kumpulan sampingan berwarna ungu yang terdiri daripada muslimat dan wanita PKR.
Dengan gabungan 4 kumpulan propaganda utama ini pihak penganjur optimis tanpa mengira logik akal telah dengan selamba mempromosikan kononnya sejuta (1,000,000) orang peserta yang terdiri daripada penyokong mereka dari seluruh negara akan hadir memenuhkan Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Awal-awal promosi lagi sudah menipu semacamlah rakyat tidak tahu yang Stadium Merdeka cuma mampu menampung 30,000 orang hadirin sahaja. Hatta jika dipenuhkan sekali dengan kawasan padang bola dan laluan pejalan kaki cuma 40,000 orang sahaja yang boleh berhimpit-himpit dalam stadium tersebut.
Mana lagi nak disumbat kai lebih 900 ribu? Kot ya pun mahu bikin gempak gunalah logik akal sikit. Ini tidak, dari awal lagi sudah menipu rakyat. Macam mana rakyat nak meyakini PR jika begitu gayanya, belum memerintah sudah menunjukkan belang penipuan?
Paling malang sekali, kesemua 4 kumpulan propaganda utama warna warni ini masing-masing mempunyai rekod pernah cuba memperbodohkan khalayak serta berniat menipu rakyat dengan pelbagai gimik dan tingkahlaku yang menjelekkan.
NGO proksi PR, Bersih 2.0 misalnya pernah terlibat dalam adegan memalukan apabila sengaja mencipta trick propaganda apabila seorang pesertanya bernama Suhardi Mat Isa yang merupakan penyokong PAS telah dengan melakonkan aksi dua tiga kali mati dan hidup semula semasa demonstrasi jalanan Bersih 2.0 pada Julai 2011.
Sementara itu ketika demontrasi Bersih 3.0 dilangsungkan pada April 2012 pula para pesertanya berkelakuan liar dengan memusnahkan kenderaan peronda polis dan menendang motosikal anggota polis trafik.
Mereka juga telah melanggar perintah Mahkamah dengan sengaja merempuh ke arah Dataran Merdeka bertujuan untuk menawannya, bila pihak berkuasa bertindak balas untuk menguatkuasakan undang-undang demi ketenteraman awan, para perusuh ini telah memutarbelitkan cerita untuk mengabui mata rakyat dengan menyalahkan pihak polis pula.
Manakala kumpulan Hijau pro DAP dan PKR yang kononnya aktivis alam sekitar pula telah dengan sengaja memesongkan fakta mengenai kilang pemprosesan bahan nadir bumi Lynas kononnya membahayakan keselamatan rakyat, walhal fakta saintifik membuktikan sebaliknya.
Lebih menyakitkan hati bila mana kumpulan yang sama melancarkan gimik mogok lapar selama 100 jam sebagai bantahan terhadap Lynas dan Rapid Pengerang. Baru sehari dua berlangsung akhirnya kantoi apabila ramai pesertanya dilihat secara senyap-senyap menjamu selera di resoran dan hotel.
Tidak cukup dengan ppgimik dan penipuan di atas, kumpulan Oren yang anti FELDA di ketuai AJK PAS Pusat juga terlibat secara langsung menipu para peneroka FELDA kononnya tanah dan rumah peneroka akan tergadai bila FGVH menyertai pasan saham BSKL.
Realitinya tiada tanah milik peneroka yang dipajak atau berisiko tergadai sebaliknya yang betul-betul tergadai ialah maruah rakyat Kelantan dan berpuluh ribu ekar tanah serta hasil bumi di selatan negeri itu telah jatuh ke tangan orang luar.
Dalam salah satu demonstrasi Oren bulan lepas pula, pesertanya telah dengan sengaja menyalibkan patung menyerupai Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad, mirip seperti Tuhan triniti kristian, Jesus yang mati disalib. Satu penghinaan terhadap sesama Islam dan lebih memalukan kejadian menyalib itu dilakukan selepas selesai mereka menunaikan solat Jumaat. Memalukan.
Kumpulan terakhir yang bertemakan warna merah, NGO Royalti tajaan pemimpin PAS pula telah dengan sengaja memutarbelitkan fakta carigali minyak di luar persisiran pantai negeri itu. Sedangkan fakta sebenar hanya minyak yang dijumpai dalam lingkungan 3 batu nautika dari pantai Kelantan sahaja yang layak menerima royalti minyak.
Jika lebih dari lingkungan tersebut, Kerajaan Pusat atas budi bicara berpandukan perjanjian yang ditandatangani boleh mengusulkan perbincangan seterusnya mempertimbangkan bayaran wang ehsan terus kepada rakyat melalui agensi-angensi Kerajaan Pusat
Apa yang terjadi, wang ehsan ditolak oleh Kerajaan PAS Kelantan dan NGO Royalti sebaliknya mereka menuntut wang tersebut dimasukkan terus ke kantung Kerajaan Negeri, yang sebenarnya terselit motif untuk diambil kesempatan buat mengenyangkan perut sesetengah pimpinan negeri
Walhal majoriti rakyat Kelantan ternyata selesa dengan pemberian wang ehsan yang memberi manfaat kepada mereka berbanding jika wang itu diberikan kepada Kerajaan PAS Kelantan akibatnya banyak berlaku ketirisan sebagaimana berlaku dalam kes royalti kayu balak, perlombongan emas, pasir dan bijih besi.
Satu perkara yang agak mengelirukan, NGO Royalti ini tanpa sedar telah menuntut supaya diwujudkan kompleks pendaratan dan penapisan petrokimia di Pantai Sabak, Bachok. Percanggahan ketara bila mana kumpulan Hijau yang bergabung bersama mereka dalam HKR pula menentang pembinaan kilang pendaratan dan penapisan petrokimia Rapid di Pengerang, Johor.
Tampak jelas, terang lagikan bersuluh, segalanya menunjukkan penganjuran HKR sebetulnya hanyalah satu propaganda politik yang motif utama mereka hanyalah mahu menarik perhatian rakyat khususnya para pengundi sempena PRU 13 nanti.
Mereka cuba mengelirukan rakyat melalui pelbagai gimik, penipuan dan pemesongan fakta termasuklah melakukan aksi liar dan kontroversi tanpa mempedulikan hakikat yang rakyat sebenarnya lebih celik akal dan mindanya.
Golongan penipu dan penyebar propaganda politik ini semua sepatutnya sedar, tingkah laku dan watak pembawaan mereka tidak sedikit pun mampu mmmembantu PR untuk menghadapi PRU 13. Tiba masanya kelak, rakyat sebagai hakim negara pastinya beramai-ramai menunaikan hak mereka dalam pilihanraya dan mengundi menolak gabungan parti politik yang tidak beretika ini.

Jumaat, 23 November 2012

KERANA KUASA, DOA JADI SENJATA POLITIK

Views
DOA adalah alat untuk menjalin hubungan komunikasi langsung antara manusia sebagai hamba dan Allah SWT sebagai Pencipta. Di dalam al-Quran, terdapat banyak ayat yang memerintahkan agar manusia berdoa kepada Tuhannya.
Antara lain firman Allah SWT: "Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan dengan (suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas". (Surah al-A'raf ayat 55).
Impak dari doa ini akan munculnya proses tunduk secara tulus dalam erti kata melenyapkan 'ego' atau individualisme dalam diri kita . Semakin kita sering berdoa maka semakin dalam pula proses pelenyapan ego dan individualisme dalam diri kita.
Sejak memperoleh sedikit kemenangan dalam pilihan raya umum lalu, ada dalam kalangan pembangkang sanggup menggunakan apa sahaja kaedah bagi merealisasikan politik matlamat menghalalkan cara. Bermula dengan kempen memburuk-burukkan personaliti pemimpin dan parti yang menang, menggalakkan tunjuk perasaan, melancarkan serangan saraf hinggalah menyalahgunakan kepentingan doa.
Penyalahgunaan hakikat dan erti penting doa bermula pada Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh pada Ogos 2008, ketika beberapa orang ulama memimpin munajat, sembahyang hajat dan berdoa untuk membutakan mata beberapa orang pemimpin kerajaan, termasuk bekas Ketua Polis Negara dalam majlis di Masjid Bandar Baharu Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Setahun berikutnya, berlaku sekali lagi seorang yang dianggap Tok guru meminta agar rakyat melakukan sembahyang hajat dan berdoa secara berjemaah untuk melaknatkan kepimpinan dan barisan pemerintah sedia ada kerana mahukan pembayaran royalti minyak diberikan kepada kerajaan negeri dan bukannya digantikan dengan wang ihsan.
Minggu lalu, umat Islam negara ini dikejutkan dengan telatah seorang yang berpengetahuan luas dalam agama tetapi menyalahgunakan hakikat doa untuk 'membalas dendam' agar Allah SWT mengkabulkan harapan pakatan pembangkang pukulan K.O. terhadap pemerintah masa kini dalam pilihan raya umum ke-13 nanti.
Sedangkan isi doa haruslah mengandungi perkara kebaikan. Kita dilarang berdoa memohon perkara-perkara yang merosakkan serta mencelakakan, baik terhadap diri sendiri mahupun orang lain. Hal ini dijelaskan oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Janganlah kamu mendoakan kecelakaan untuk dirimu, anak-anakmu, pembantumu dan harta bendamu. Boleh jadi permintaan yang demikian tepat dengan saat dikabulkannya permintaan secara langsung oleh Allah". - (Hadis riwayat Abu Daud).
Doa dengan tujuan memusnahkan orang tersebut dianggap sebagai satu bentuk doa yang tidak wajar dilakukan oleh orang Islam kerana tidak dilakukan secara berhemah seperti memohon kepada Allah SWT untuk "melembutkan hati yang keras" sekiranya benar telah berlaku kezaliman sepanjang 55 tahun kebelakangan ini.
Dari perspektif Islam, Allah SWT sentiasa menyuruh setiap Muslim agar berdoa dan memohon restu daripada-Nya. Allah SWT juga berjanji akan memperkenankan setiap permohonan yang diminta oleh hamba-Nya, asalkan doa itu bukan untuk menganiayai orang lain atau membalas dendam, yakni bukan keinginan negatif.
Setiap kali selepas bersembahyang, setiap Muslim digalakkan berdoa bagi mensejahterakan setiap Muslim kerana mereka adalah bersaudara. Dengan sifat yang positif, setiap Muslim mengharapkan perkenan dan rahmat-Nya.
Rasullullah SAW mengingatkan manusia bahawa doa adalah ibadat, sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada riwayat al-Nu'man Ibn Basyir, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya doa itu adalah ibadat."
Daripada Aisyah r.a., al-Bazzar, al-Tabrani dan al-Hakim meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: "Persediaan dan berhati-hati tidak mampu mengatasi takdir Allah, manakala doa berguna untuk mengatasi apa yang ditakdirkan dan apa yang akan dilaksanakan, sesungguhnya ujian Allah akan diturunkan dan akan berjumpa dengan doa yang telah diminta, lalu kedua-dua saling bertarung sehingga Hari Kiamat."
Doa telah disyariatkan oleh Allah SWT kepada setiap orang Islam dan perlu dilakukan sepanjang masa untuk mendapat restu dan rahmat-Nya. Makna daripada kerahmatan Allah SWT ialah untuk kebaikan diri, keluarga, masyarakat dan keseluruhan ummah.
Maknanya, jika doa itu ditujukan untuk menghancurkan sekelompok orang Islam, ia adalah satu tindakan yang tidak wajar kerana hanya untuk kebaikan diri dan bukannya kebaikan untuk seluruh umat Islam.
Allah SWT tidak mensyariatkan kepada orang Islam untuk mendoakan kemusnahan dan kehancuran sesama Islam. Bahkan, Rasulullah SWT telah bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga ia mencintai saudaranya (seagama) seperti mana ia mencintai dirinya sendiri."
Sepanjang hayat Rasulullah SAW melaksanakan dakwah dengan kata-kata yang manis dan perilaku sederhana, tidak menggalakkan sebarang bentuk kemusnahan sama ada dalam kata-kata ataupun tindakan.
Ketika berhadapan dengan penolakan dakwah oleh penduduk Taif, Rasulullah SAW diberikan pilihan oleh malaikat yang menjaga urusan bukit-bukau. Malaikat hanya perlukan arahan daripada Rasullullah SAW untuk memusnahkan mereka yang degil, malaikat akan campakkan bukit bukau itu bagi memusnahkan kedegilan penduduk Taif itu.
Bagaimanapun, Rasullullah SAW menolak pilihan itu tetapi terus mengharapkan agar Allah SWT melembutkan hati mereka dan dilimpahkan kebaikan. Mungkin pada suatu hari generasi keturunan mereka akan dilahirkan dan beriman kepada Allah SWT.
Rasullullah SAW berdoa: "Wahai Tuhanku, berilah hidayah dan petunjuk-Mu kepada kaumku, kerana mereka tidak mengetahui." Nyatalah pendekatan yang diambil oleh Rasullullah SAW adalah bertentangan dengan sikap para pemimpin Pas yang mendakwa diri mereka sebagai ulama. Pada anggapan umum, ulama adalah "pewaris nabi" maka, tindakan yang dilaksanakan oleh ulama politik itu bukanlah tindakan yang diwariskan daripada Rasullullah SAW.
Rasullullah SAW tidak mewariskan 'doa laknat', 'doa kemusnahan' Doa-doa yang dilakukan itu adalah senjata politik yang terdesak dilakukan oleh ulama politik demi kuasa, akhirnya doa itu pulang ke pangkuan mereka sendiri sebagai 'karma politik'.
Menggunakan doa sebagai senjata politik adalah sikap mereka yang membudayakan kehidupan yang zalim dan melampau, kerana Rasullullah SAW tidak pernah mendoakan musuhnya menjadi 'buta', 'musnah' dan 'ditumbangkan'. Hanya dilakukan oleh Rasullullah SAW, mereka yang bermusuh itu 'dilembutkan hatinya'.
Menerusi kelembutanlah Islam akhirnya muncul sebagai agama kedua terbesar dari segi jumlah penganutnya. Itulah hakikat sebuah dakwah yang diajar oleh Rasullullah SAW dan bukannya menyanjungi pendekatan politik yang dilakukan oleh ulama kemaruk kuasa dan terdesak nak tutupkan kelemahan sendiri.
OLEH:DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Khamis, 22 November 2012

PAS ANGKUH KEMARUKKAN KUASA!!!

Views

MENGIKUTI perjuangan Pas sejak awal sehingga kini nampak jelas perubahan ketara dalam hala tuju perjuangan.
Pada zaman Abu Bakar Bakir, Burhanuddin Al-Helmi dan Zulkifli Muhammad perjuangan Pas adalah untuk agama, bangsa dan negara. Moto ini kalau digunakan sekarang Nik Abdul Aziz akan menganggapnya sebagai moto asabiyah, kaumiyah dan rasis.
Ketika zaman revolusi Iran memuncak Pas mengambil pendekatan radikal sehingga ramai pengikutnya ke Iran untuk meniru cara revolusi Iran terjadi. Ramai orang Pas dan pengikutnya termasuk dikatakan Timbalan Presiden Pas, Mat Sabu juga pendukung faham Syiah.
Pada zaman pakatan pembangkang, Pas menjadi lebih berkecamuk kerana antara kuasa politik dan agama, ghairah ke Putrajaya ternyata lebih unggul. Kalau dulu Abdul Hadi Awang pernah mengkafirkan UMNO kini DAP yang jelas kafirnya menjadi rakan sekutu Pas. Ibarat ludah ke langit tertimpa semula ke muka sendiri.
Oleh kerana ghairah ke Putrajaya, Pas sudah tidak peduli lagi isu pokok dalam perjuangan Islam. Tahalluf siasi yang sepatutnya berlaku dalam kalangan sesama Islam tersongsang kepada kelompok yang bukan Islam iaitu DAP.
Lalu justifikasi diberi untuk menyakinkan khalayak bahawa DAP adalah lebih baik kerana UMNO adalah syaitan dan Firaun seperti kata Abdul Hadi.
Keghairahan itu semakin terangsang dengan tampilnya Anwar Ibrahim sebagai tokoh utama. Karpal Singh dalam Parlimen pernah menyatakan Anwar 'kaki liwat' dan dia punya cukup bukti. Mat Sabu menyebut Anwar sebagai 'al-juburi' kerana Anwar dalam kerajaan memiliki kaset perbualan Mat Sabu-Normah.
Atas pertimbangan apa Pas boleh menerima DAP sebagai rakan sepasukan sedangkan Karpal Singh secara terang-terangan menolak gagasan Negara Islam dan Hudud.
Atas pertimbangan apa pula Pas boleh menerima Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedangkan integriti Anwar tercemar kerana kenyataan Karpal Singh, Mat Sabu dan dakwaan banyak pihak terhadap isu moralnya.
Kerana terlalu bencikan UMNO dan ingin ke Putrajaya menyebabkan Pas membina 'nafsul amarah' yang luar biasa sehingga membelakangkan prinsip kebenaran.
Sikap benci dan dendam ini bukanlah ajaran Islam. Ia adalah penyakit 'nafsul amarah' yang membuak-buak sehingga rasa taksub yang tinggi terpancar dalam doa untuk menghancurkan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya akan datang.
Seperti yang berlaku pada masa lalu, solat hajat digunakan secara tidak adil untuk membela pemimpin terjadi dan bercanggah syariat. Akibatnya semakin banyak rahsia terbongkar. Apakah Allah tidak mendengar permintaan mereka?
Kalaulah doa yang angkuh dan bernafsu besar itu tidak diizinkan Allah, malah UMNO/BN menang besar apakah ia petanda doa mereka tidak makbul? Pas jangan cakap sombong kepada UMNO dan UMNO tidak pernah mendoakan Pas supaya hancur.
Menyatakan UMNO macam firaun, zalim dan syaitan adalah ungkapan yang terlalu ekstrem dan sukar diterima kerana ia bercanggah dengan fakta. Ia adalah dorongan sifat angkuh akibat gila kuasa yang luar biasa.
Pas kena ingat politik bukan segala-gala. Sewaktu membina impian ke Putrajaya dengan DAP dan PKR, musuhnya UMNO dikecam habis dengan gelaran yang tidak berlapik. Dalam politik tidak ada kawan yang kekal.
Keadaan boleh berubah. Apakah Pas akan menjilat balik apa yang dicakapkannya atau kuasa politik umat Melayu bakal hancur.
Pas amat memahami, golongan hardcore atau kelompok yang bakar tak hangus dan direndam tak basah tidaklah ramai. Dalam politik pengundi terdiri daripada simpatisan dan orang atas pagar.
Khalayak ramai, baik simpatisan dan orang atas pagar menilai. Orang Melayu dan UMNO lebih-lebih lagi rasa tersinggung dengan kenyataan UMNO syaitan, firaun dan zalim. Kenyataan ini amat menyinggung banyak pihak dan mendoakan pula supaya UMNO/BN hancur.
Perhimpunan Agung UMNO akan datang diharap jangan jadi medan balas dendam. UMNO harus berjiwa besar. Sultan Kelantan baru-baru ini bertitah dan menyatakan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan. Baginda juga meminta supaya isu air di Kelantan diselesaikan segera.
UMNO/BN harus gagah menyatakan bahawa program pembangunan di Malaysia selari dengan kehendak Islam. Anak-anak pembangkang diberi biasiswa dan biaya untuk belajar dalam negara dan luar negara dengan adil dan banyak lagi. Sampai hati Abdul Hadi dengan angkuh menuduh UMNO firaun, syaitan dan zalim sedang orang luar menganggap Malaysia negara Islam contoh.
P/S: Bila manusia itu kemarukkan kuasa, segala budi manusia lain yang baik dibalas dengan tuba!!!!


Rabu, 21 November 2012

UMAT ISLAM DITINDAS,PAS TERPESONG

Views
SEMASA seluruh umat Islam di seluruh dunia berkabung dengan kematian puluhan umat Islam di Palestin baru-baru ini akibat 466 serangan udara zionis yang tidak berhati perut, di negara ini dua tragedi telah melanda umat Islam. Yang pertama apabila ada pihak yang menafsir surah suci al-Quran dengan menjustifikasikan tindakan umat Islam dan orang Melayu untuk menganut apa sahaja fahaman yang mereka ingini.
Keduanya, apabila wujudnya satu parti politik yang kononnya memperjuangkan kesucian Islam tergamak membuat doa laknat kepada parti melayu dan Islam lain.
Jika kita masih ingat kenyataan Pengasas Pergerakan Islam Palestin 1948, Sheikh Raed Solah, yang dilaporkan dalam suratkhabar keramat orang melayu ini pada 6 September tahun ini. Perkembangan terkini yang melanda dunia Arab termasuk pelantikan Mohammed Morsi sebagai Presiden Mesir yang baru akan membantu kepada perubahan ke arah pembebasan Palestin dan Masjid al-Aqsa.
Mengulas mengenai Malaysia, Sheikh Raed berkata, rakyat negara ini harus bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi hasil daripada perjuangan pemimpin mereka selama ini. Dalam hal ini, beliau mengingatkan rakyat Malaysia bagaimana kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat Palestin akibat dijajah.
Dalam pengkisahannya, beliau berkata, setengah juta rakyat Arab Palestin dipenjarakan, kubur-kubur nenek moyang diceroboh untuk didirikan sekolah manakala masjid dijadikan tempat menjual arak.
Katanya lagi, adakah keamanan dan ketenangan jiwa dapat dirasai sekiranya perkara itu berlaku di negara ini.
Jika kita meneliti kisah Sheikh Raed dan serangan bertali arus zionis ke atas Gaza adakah kita tergamak menggunakan ayat-ayat Allah SWT untuk menjahanamkan umat Islam dan akidah mereka. Sampai bila orang Melayu harus bercakaran demi mengejar Putrajaya dan kuasa yang bersifat fana di dunia ini.
Tidakkah ulama Pas belajar dari tragedi yang melanda Palestin yang bukan berlaku setahun dua tetapi sudah hampir 65 tahun. Tidakkah juga pemimpin yang mempergunakan Islam tidak kira pemimpin Melayu, bukan Islam dan lain-lain Ulama siasah Al-Madrasah berasa bimbang dengan perpecahan yang melanda rakyat negara ini atas nama perebutan kuasa. Lupakah kita siapa yang ingin benar melelong Putrajaya jika parti Pas dapat memerintah negara. Siapa juga yang ingin melaksanakan hudud yang mana dalam masa yang sama kawan-kawan satu pakatan menyuruh mayatnya di langkah dahulu baru ia boleh dilaksanakan.
Lupakah kita siapa yang memerintah Terengganu selama satu penggal namun tidak pun melaksanakan hudud. Lupakah kita siapa yang memerintah Kelantan selama 22 tahun tetapi sesi penerangan hukum hudud dalam kalangan rakyat tidak pernah dilakukan. Bukankah ini satu tragedi kepada umat Islam di negara ini selain tragedi yang melanda umat Islam Palestin. Menjadikan hukum Allah SWT sebagai modal politik tidak bersempadan.
Sepatutnya semasa muktamar mereka baru-baru ini, ulama Pas mendoakan agar orang Palestin diselamatkan dan dilindungi Allah SWT. Sebaliknya ulama Pas memilih untuk mengaminkan doa agar UMNO dan Barisan Nasional dilaknat oleh Allah SWT sebagaimana yang berlaku kepada Abu Lahab dan Firaun.
Adakah selama 55 tahun UMNO menjadi tulang belakang BN, negara kita tidak dirahmati oleh Allah SWT. Adakah selama ini gaji Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri datang dari hasil sumber pentadbiran yang haram?
Ulama dalam Pas harus ingat, doa laknat yang dibaca oleh mereka dan diaminkan oleh mereka akan dipulangkan oleh Allah SWT jika mereka terus bersekongkol dengan penyokong pluralisme dan liberalisme agama. Begitu juga kepada pemimpin mereka yang pantas memberi sokongan kepada kenyataan orang Melayu bebas beragama.
Musuh Islam akan lebih ghairah membunuh umat Nabi Muhammad SAW kerana orang UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menjadi tulang belakang negara Islam Malaysia telah dilaknat mereka hingga tidak dapat lagi memberi bantuan kemanusiaan.
"Ya Allah, mudahkanlah perjalanan Barisan Nasional dan UMNO kekal di Putrajaya, kuburkanlah musuh-musuh Islam dan penyokong pluralisme dan liberalisme agama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 ini (diulang sebanyak tiga kali). Ya Allah...Hukumkanlah musuh-musuh Islam Ya Allah.
"Kalau Kamu pernah tenggelamkan Firaun di dalam laut, Kamu izinkan bumi Mu telan Qarun. Ya Allah... Kamu telah laknat Namrud dan begitu juga Abu Lahab. Maka sungguh mudah untuk Kamu menjahanamkan penyokong pluralisme dan liberalisme agama dalam PRU-13," Amin adanya.
OLEH ABDUL RAZAK IDRIS

Jumaat, 16 November 2012

AKIDAH ISLAM BUKAN IDEOLOGI CIPTAAN MANUSIA

Views
ISLAM adalah agama yang diwahyukan oleh Allah kepada manusia. Setiap perkara berkaitan akidah, syariah dan akhlak adalah berdasarkan kepada panduan Ilahi dan Rasulullah SAW. Setiap ayat al-Quran yang diwahyukan oleh Allah sepatutnya dikaji dan diteliti terlebih dahulu sebelum mengeluarkan pandangan dan fatwa.
Kejahilan terhadap disiplin penafsiran ayat-ayat al-Quran merupakan salah satu faktor utama yang menyebabkan umat Islam sering tersasul dan membuat kesilapan dalam menghuraikan intisari pengajaran al-Quran.
Umat Islam diajar supaya bertawaddu' dalam aspek berkaitan ilmu pengetahuan terutamanya berkaitan dengan ilmu wahyu. Salah tafsir terhadap ayat-ayat al-Quran dan syariah Islam semakin hari kian dipaparkan oleh umat Islam sendiri sehingga perkara berkaitan fundamental ajaran Islam juga ditafsirkan mengikut logik akal dan ideologi perjuangan politik.
Umat Islam yang berfikiran liberal cuba menafsirkan ayat-ayat al-Quran seperti mana penganut agama lain mereformasikan agama mereka. Mereka tidak memahami ilmu wahyu tidak boleh disamakan dengan ideologi yang sentiasa berubah mengikut keadaan dan peredaran zaman. Sikap liberal begini boleh menyebabkan keaslian ajaran Islam tergugat seperti mana berlaku kepada agama Samawi yang lain (agama yang menerima wahyu daripada Allah sebelum Islam di mana intisari ajaran kitab suci dipinda dan diubahsuai mengikut keadaan masa dan zaman).
Golongan fanatik Islam pula menafsirkan ayat-ayat al-Quran dalam konteks pemikiran mereka yang jumud dan radikal sehingga ke tahap mengagungkan ketua kumpulan sebagai wali atau Imam Mahdi. Corak pemikiran begini boleh menggambarkan Islam sebagai agama yang pasif dan ganas.
Sebab dan musabab penurunan ayat-ayat al-Quran perlu difahami secara menyeluruh kerana setiap penurunan wahyu Ilahi itu mempunyai kaitan dengan konteks dan peristiwa yang berlaku ketika itu. Umat Islam yang tidak memahami disiplin penafsiran al-Quran sepatutnya merujuk kepada ahli ilmu yang arif dalam bidang itu supaya kenyataan dan pandangan yang mereka tidak menimbulkan keadaan kemelut di kalangan masyarakat.
Perkara berkaitan ilmu pengetahuan terutamanya ilmu wahyu amat memerlukan kepada proses pembelajaran yang khusus bukan seperti membaca dan menganalisis ideologi ciptaan manusia yang boleh dibahaskan secara bebas mengikut pemahaman masing-masing. Ayat-ayat al-Quran sering dipergunakan oleh kebanyakan ahli politik bagi menyakinkan masyarakat bahawa perjuangan mereka adalah selaras dengan ajaran al-Quran.
Jika prinsip dan objektif perjuangan politik hanya berdasarkan kepada 'perjuangan untuk mendapat kemenangan dan memperolehi kuasa memerintah negara' tanpa menghiraukan kesan negatif terhadap agama, bangsa dan negara, maka ahli-ahli politik beragama Islam akan menafsirkan ayat-ayat al-Quran dengan pelbagai penafsiran mengikut keadaan dan suasana pergolakan parti politik mereka.
Perkara berkaitan akidah adalah ditetapkan oleh Allah. Manusia tidak mempunyai hak meminda hukum hakam tersebut. Ayat al-Quran dalam Surah 2 (al-Baqarah) : 256, yang bermaksud, " Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang salah. Kerana itu sesiapa yang ingkar kepada Thagut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada genggaman tali yang kuat yang tidak akan putus. Dia Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".
Ayat al-Quran tersebut mempunyai kaitan dengan peristiwa di mana orang Ansar yang beragama Islam memaksa anak-anak mereka yang dipelihara oleh orang Kristian dan Yahudi memeluk agama Islam. Jalaluddin Abd. Rahman Abi Bakr al-Suyuti, dalam bukunya bertajuk al-Dhur al-Manthur fi Tafsir al-Ma'thur menjelaskan ketika zaman sebelum Islam orang-orang Musyrik Madinah amat tertarik dengan personaliti masyarakat Ahli Kitab (Kristian dan Yahudi). Sebahagian daripada wanita Ansar ketika mengandung, bersumpah untuk menyerahkan anak mereka kepada Ahli Kitab jika anak yang dilahirkan itu hidup.
Al-Sha'bi menceritakan kisah wanita Ansar yang kecewa apabila anak mereka meninggal dunia selepas bersalin. Mereka bersumpah akan menyerahkan anak mereka kepada orang Kristian dan Yahudi serta menganut agama bapa angkat mereka jika anak yang dilahirkan itu hidup. Mereka berpendapat agama ahli kitab adalah lebih baik daripada agama mereka. Apabila Islam tersebar di Madinah, orang Musyrik Madinah memeluk agama Islam. Mereka memaksa anak-anak mereka yang beragama Kristian dan Yahudi memeluk agama Islam. Berdasarkan kepada peristiwa ini maka Allah mewahyukan surah 2 (al-Baqarah): 256 menegaskan bahawa tidak ada paksaan dalam agama. Selepas penurunan wahyu ini maka mereka tidak memaksa anak mereka memeluk agama Islam.
Berdasarkan kepada konteks ayat al-Quran tersebut maka jelas menunjukkan umat Islam tidak dibenarkan memaksa orang bukan Islam menganut agama Islam. Orang bukan Islam yang baru memeluk agama Islam juga tidak dibenarkan memaksa anak-anak mereka menganut agama Islam jika mereka masih yakin dengan agama asal mereka.
Konsep kemanusiaan di dalam Islam adalah terlalu tinggi nilainya di mana hak dan kebebasan manusia dalam agama diperakui. Sedangkan golongan yang memperjuangkan ideologi mengetepikan hak bersuara dan beragama. Setiap individu yang tidak menganuti ideologi mereka akan ditindas dan disiksa. Rumah-rumah ibadah dimusnahkan dan para ulama dan ketua agama dibunuh seperti mana berlaku dalam negara yang mengamalkan ideologi komunis.
Kebebasan beragama yang dimaksud dalam al-Quran ini bukan bererti umat Islam bebas menganut agama lain. Umat Islam tidak dibenarkan memeluk agama lain kerana perbuatan demikian dianggap sebagai satu dosa yang besar.
Setiap ulama sama ada ahli fekah atau teologi berpendapat murtad merupakan kes yang paling serius berkaitan akidah. Perbezaan pendapat di kalangan mereka hanya berkaitan bentuk hukuman sama ada termasuk dalam hukuman had (hukuman tertentu yang ditentukan oleh Allah dalam al-Quran) atau ta'zir (hukuman yang ditentukan oleh negara Islam).
Setiap penganut agama beranggapan bahawa agama mereka adalah benar dan pertukaran agama merupakan satu perkara yang serius. Sejarah menunjukkan kebanyakan agama di dunia menghukum penganut agama mereka yang bertukar agama. Bentuk hukuman terhadap individu yang murtad juga berbeza di antara satu agama dengan agama lain.
Hak kebebasan beragama hanya disuarakan oleh agama tertentu dalam persekitaran abad ke-20 di mana dalam sejarah agama mereka penyiksaan terhadap individu yang menukar agama adalah terlalu berat. Urusan berkaitan akidah sesuatu agama adalah hak kepada penganut agama itu. Agama lain tidak mempunyai hak mencampuri urusan agama lain. Jika sesuatu agama memberi hak yang penuh kepada penganut agamanya bertukar kepada agama lain, maka umat Islam tidak dibenarkan masuk campur dalam urusan keagamaan itu kerana setiap agama mempunyai perbezaan kepercayaan, prinsip dan budaya.
Umat Islam sepatutnya memahami bahawa perkara berkaitan akidah bukanlah perkara yang boleh dikompromi dengan prinsip agama lain. Setiap perkara berkaitan akidah Islam adalah berdasarkan kepada konsep tauhid yang tulen dan sempurna. Ia merupakan satu konsep yang amat ketara perbezaannya dengan agama lain.
Bagi mencapai sebuah negara yang aman dan harmoni setiap penganut agama perlu menghormati prinsip ajaran agama lain. Hak kemanusiaan yang diperjuangkan oleh umat Islam sepatut perlu berlandaskan kepada etika Islam supaya tindak tanduk mereka tidak membangkitkan suasana yang kronik.

Oleh :PROF. MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Rabu, 17 Oktober 2012

PERANAN SKUAD PENGGUNA

Views
KUALA LUMPUR - Sejak diperkenalkan pada 2001, Sukarelawan Pemantau Harga (SPH) yang turut dikenali sebagai Rakan Pengguna aktif memainkan peranan dan fungsi menjadi 'mata dan telinga' kerajaan dalam memantau harga barangan (penandaan harga) dan mutu perkhidmatan.
Bagaimanapun, entah di mana silapnya, kementerian melihat penstrukturan Rakan Pengguna ini juga kurang mantap dan pelaksanaan aktiviti serta pendedahan mengenainya juga tidak menyeluruh.
Pendek kata, kewujudan Rakan Pengguna seolah-olah tidak disedari masyarakat umum.
Justeru melihat kepada permasalahan ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mengorak langkah dengan melakukan penjenamaan semula kumpulan ini dengan memberi nama baru iaitu Skuad Pengguna oleh Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

PENJENAMAAN SEMULA
Di bawah penjenamaan baru ini, Rakan Pengguna diberi suntikan serta nafas baru dari segi penstrukturan, imej dan sensitiviti sebagai satu langkah yang dapat menjadi pemangkin untuk menyemarakkan lagi penerapan ilmu kepenggunaan di kalangan masyarakat Malaysia.
Susulan penjenamaan baru itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan & Pengurusan), Datin Mahani Tan Abdullah memberitahu Bernama bahawa, kementerian memang menaruh harapan tinggi terhadap Skuad Pengguna supaya dapat membantu kerajaan meningkatkan lagi penguatkuasaan undang-undang melalui kerjasama dan sokongan orang ramai.
Memandangkan aktiviti penawaran dan permintaan dalam pasaran yang semakin meningkat tanpa kawalan, situasi ini telah membataskan keupayaan pihak penguatkuasa KPDNKK untuk 'turun padang' dan melaksanakan tugas mereka.
"Maka, di sinilah peranan ahli skuad untuk memberikan kerjasama sekaligus dapat mamantau mana-mana amalan aktiviti perniagaan yang tidak sihat. Ini secara tidak langsung dapat mendisiplinkan pihak peniaga juga."
"Selain bertindak sebagai pemberi maklumat mengenai trend harga barangan dan perkhidmatan kepada kementerian, ahli skuad juga berperanan besar untuk menyebarkan maklumat mengenai isu-isu kepenggunaan kepada umum.
Lebih penting lagi, setiap ahli skuad juga berupaya untuk menjadi jurucakap bagi isu-isu berkaitan selain dapat menganjurkan program dan aktiviti kepenggunaan dalam komuniti masing-masing," katanya.

JALINAN KERJASAMA
Skuad Pengguna mempunyai anggota aktif seramai kira-kira 37,000 orang, kini mensasarkan untuk mencapai jumlah keanggotaan melebihi 50,000 orang menjelang akhir tahun ini.
Menurut Mahani, melihat kepada pendekatan konsep 'serampang tiga mata' yang diambil oleh Skuad Pengguna selari dengan jalinan kerjasama yang dibuat bersama masyarakat peniaga, jumlah keanggotaan diharapkan dapat mencatat bilangan yang lebih tinggi daripada sasaran.
"Skuad Pengguna pada kali ini juga meluaskan fokus dan melibatkan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO), anggota Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan badan-badan peniaga seperti Perdasama dan jaringan pasaraya besar seperti Giant dan Jusco.
Strategi ini adalah sangat bersesuaian dan menepati Dasar Pengguna Negara yang mahukan pengguna Malaysia untuk mempunyai amalan kawalan kendiri, peniaga pula dengan amalan kawalselia kendiri dan Kerajaan selaku fasilitatornya, iaitu berperanan meningkatkan tahap perlindungan terhadap pengguna," jelas Mahani.
Contohnya, CUEPACS, badan ini yang dilaporkan terdiri daripada 1.5 juta anggota, sememangnya diharapkan dapat menambah seberapa ramai anggota Skuad Pengguna sedia ada.
"Tambahan pula, ahli Skuad Pengguna bukan sahaja berkhidmat dengan 'tangan kosong', sebaliknya banyak manfaat dan keistimewaan yang boleh diperoleh dengan keanggotaan mereka sebagai anggota Skuad," katanya yang mengakui kewujudan Skuad Pengguna hari ini adalah sangat relevan.

MANFAAT
Sebagai anggota berdaftar, Skuad Pengguna boleh menikmati pelbagai keistimewaan antaranya mendapat kemudahan potongan harga dan diskaun yang ditawarkan oleh premis perniagaan iaitu 36 Rakan Dagang yang mengambil bahagian dengan menggunakan Kad Skuad Pengguna.
"Melalui kad Skuad Pengguna yang akan diperoleh anggota sebaik sahaja mendaftar, mereka boleh mendapat potongan harga antara dua peratus hingga 20 peratus daripada jumlah nilai barangan yang dibeli atau perkhidmatan yang digunakan," jelas Mahani.
Rakan dagang yang mengambil bahagian adalah panel yang dilantik oleh Bank Rakyat dan terdiri daripada kedai-kedai operasi yang terdapat di seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.
"Selain pemberian diskaun, anggota Skuad Pengguna juga menerima pengiktirafan kepada anggota terbaiknya yang banyak membantu serta memberi sumbangan kepada KPDNKK. Ia akan disampaikan sama ada di peringkat kebangsaan dan negeri," katanya.
Keistimewaan lain yang layak diterima oleh anggota skuad adalah peluang menyertai seminar dan bengkel anjuran KPDNKK, mengikuti kursus 'Training for Trainers' bagi tujuan latihan selain aktiviti kepenggunaan yang dikelolakan oleh pihak swasta dengan kerjasama kementerian.

GAYA HIDUP LESTARI
Tanpa sedar selain memainkan peranan sebagai 'mata dan telinga' kerajaan, tanggungjawab anggota Skuad Pengguna adalah sebenarnya jauh lebih besar dan penting.
Mahani berkata anggota skuad seharusnya menjadi pemangkin gaya hidup yang lestari iaitu ke arah corak penggunaan sumber alam secara optimum, kreatif dan berhemah.
"Apabila kita bercakap mengenai kepenggunaan lestari, pengguna harus ingat bahawa corak penggunaan sehari-hari kita memberi kesan secara tidak langsung kepada alam sekitar.
"Contohnya, permintaan tinggi terhadap penggunaan beg plastik sememangnya ada dan sentiasa meningkat disebabkan oleh banyak faktor. Pada masa yang sama, beg plastik yang banyak digunakan ini juga berpotensi untuk dibuang merata-rata oleh pengguna.
Walhal sekiranya beg-beg plastik ini dibuang atau teralir ke mana-mana sumber air misalnya laut, haiwan boleh terkesan seperti tercekik lalu mati akibat pencemaran ini. Ini berkemungkinan mengundang masalah kepupusan.
Saliran air seperti longkang juga boleh tersumbat dan seterusnya jika hujan turun dengan lebat, banjir boleh berlaku. Kalau beg plastik itu dibakar pula, ia akan menyebabkan udara tercemar dengan asap tebal," jelasnya.
Justeru melihat kepada contoh itu, Mahani menegaskan adalah penting untuk pengguna melakukan amalan lestari dalam memastikan kelangsungan alam sekitar sentiasa terpelihara untuk generasi akan datang.
"Bayangkan, betapa pentingnya tindakan kecil kita seperti Kempen 'No Plastic Bag Day' yang dilaksanakan sekarang (mengurangkan penggunaan beg plastik) dapat mengubah nasib anak cucu. Dalam pada itu, untuk melahirkan pengguna lestari, pendidikan tentang cara-cara kepenggunaan yang berhemah dan bijak perlu didedahkan kepada anggota skuad," katanya.

PENGGUNA BIJAK
Untuk mewujudkan ciri-ciri pengguna yang bijak dalam amalan kepenggunaan, pengguna haruslah 'celik' dan bertindak ikut rasional akal, selain bertanya atau membuat selidikan terlebih dahulu sebelum membeli atau menggunakan sebarang perkhidmatan yang ditawarkan.
"Isu pembelian menerusi transaksi atas talian khususnya memerlukan pengguna untuk lebih waspada sebelum membuat keputusan untuk membeli.
Misalnya kenalpasti dahulu dengan siapa mereka berurusniaga, adakah akaun transaksi yang digunakan adalah akaun milik peribadi seseorang atau bagaimana pula testimoni pembeli sebelumnya tentang produk yang dibeli menerusi laman web atau individu tertentu.
"Pihak KPDNKK menerima banyak aduan dan rungutan mengenai pengguna yang tertipu dengan konsep pembelian secara online. Apa yang kami boleh katakan, ia di luar kawalan pihak KPDNKK lebih-lebih lagi jika transaksi dibuat tanpa merujuk kepada pihak kami. Tetapi dalam apa keadaan pun, KPDNKK mengambil serius permasalahan ini dan pihak penguatkuasa kami dengan giatnya akan menyiasat dan menangkap mereka yang bersalah," kata Mahani.
Selain itu, bentuk aduan yang dibuat oleh pengguna dan ahli Skuad sama ada menerusi talian telefon, sistem pesanan ringkas (SMS), laman web mahupun ke kaunter KPDNKK, hendaklah dinyatakan secara lebih spesifik dan jelas butirannya.
"Pernyataan aduan yang lebih khusus dan spesifik adalah sangat penting untuk pihak KPDNKK melakukan tindakan susulan dengan pantas dan segera. Contohnya, sekira berlaku kekurangan bekalan di kawasan tertentu, nyatakan alamat kawasan itu dengan lebih tepat supaya pihak KPDNKK tidak perlu tercari-cari lokasi itu dan tindakan yang boleh dilakukan segera terpaksa ditangguh.
"Apa yang saya boleh kata, kebergantungan pihak KPDNKK untuk bertindak sama ada lambat atau cepat adalah tertakluk sepenuhnya kepada aduan yang kami terima.
Tindakan lambat sememangnya merugikan rakyat atau pengguna sendiri. Oleh itu, adalah penting untuk pengguna mahupun ahli Skuad bertindak bijak untuk menyatakan aduan dengan sejelas-jelasnya," kata beliau yang berharap Skuad Pengguna dapat menjadi medium penggerak bagi masyarakat memahami dan menterjemahkan ilmu kepenggunaan dalam kehidupan seharian.

PERANCANGAN
Mengenai perancangan seterusnya KPDNKK untuk Skuad Pengguna, Mahani berkata, walaupun pelaksanaan skuad ini masih baru, KPDNKK tetap meletakkan harapan yang jelas iaitu untuk melihat Skuad Pengguna ini menjadi medan bagi pengguna, peniaga dan Kerajaan untuk berganding bahu mewujudkan pasaran ekonomi dan sosial yang lebih kondusif untuk generasi pada masa akan datang.
"Walaupun ia nampak seperti sukar direalisasikan, KPDNKK tidak pernah berputus asa untuk mencari titik keseimbangan antara kehendak pengguna dan keuntungan peniaga. Elemen ini penting supaya kepuasan utiliti maksimum dapat dicapai," kata Mahani mengakhiri perbualan.
Orang ramai yang berminat mendaftar sebagai anggota Skuad Pengguna boleh layari laman web http://www.1pengguna.com/sp. - Bernama

Khamis, 4 Oktober 2012

PERANCANGAN BAJET

Views
BERAPA banyak pun bantuan dan peruntukan yang diberikan, sekiranya tidak diuruskan dengan baik, akhirnya balik ke asal juga.

Kata sesetengah orang, berapa tinggi pun jumlah gaji yang kita dapat setiap bulan, sebenarnya tidak memberi makna. Apa yang lebih bermakna, berapa jumlah baki yang tinggal setelah ia dibelanjakan untuk diri sendiri, keluarga dan membayar bil-bil wajib setiap bulan.

Jika baki yang tinggal ke tahap sampai hendak tutup hidung, sesak walaupun baru beberapa hari menerima gaji, gaji yang banyak pun hanya nampak cantik pada slip gaji.

Jadi, pengurusan kewangan itu penting. Berilah apa jua bantuan kewangan, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang kini diperluas kepada individu bujang berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM2,000, bonus, baucar Buku 1Malaysia atau bantuan RM100 untuk setiap murid sekolah rendah dan menengah, jika bantuan ini disalah guna atau digunakan untuk perkara-perkara lain, tentu sekali tidak dapat membantu.
Bajet 2013 yang baru dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu, walaupun dihentam macam-macam oleh pihak pembangkang, tetapi yang penting kesan dan manfaatnya kepada orang ramai.
Cakaplah apa yang mereka hendak cakap kerana yang menerima dan menanggung beban kos sara hidup adalah rakyat. Pembangkang hanya tahu bercakap dan mengutuk. Tidak membantu pun. Diberi bantuan pun teruk kena kutuk, apatah lagi jika tidak diberi langsung.
Jadi kepada rakyat yang termasuk dalam kategori yang menerima habuan daripada Bajet 2013, terimalah dengan rasa bersyukur. Pada masa yang sama, uruskanlah bantuan berkenaan sebaik-baik mungkin.
Kepada kakitangan awam, tentunya mereka menerima banyak keistimewaan berbanding pekerja-pekerja swasta dalam Bajet 2013 ini. Bonus satu setengah bulan sudah dikira cukup menarik, berbanding pekerja swasta yang ada sesetengahnya hendak dapat satu bulan bonus pun seperti terpaksa masuk ke medan peperangan.
Jadi amatlah luar biasa fitrahnya, apabila segelintir daripada mereka yang mendapat macam-macam keistimewaan ini termasuk duduk di kuarters kerajaan, mengutuk majikan di laman-laman sosial terutama pada waktu bekerja dengan menggunakan pula kemudahan komputer milik majikannya.
Dan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bersekolah, tentunya berasa amat bersyukur kerana pemberian wang tunai RM100 untuk setiap murid diteruskan. Sedikit sebanyak beban dapat dikurangkan apabila musim persekolahan bermula pada tahun depan.
Memanglah jumlah RM100 bukannya banyak, tetapi untuk yang berpendapatan rendah, pemberian itu memberi banyak kesan kepada mereka.
Ada yang memperlekehkan pemberian itu dengan mengatakan terlalu sedikit, apa sangat yang boleh dibeli dengan RM100?; ini duit untuk beli jiwa dan macam-macam lagi. Tetapi bila tiba waktu untuk mengutipnya, tetap sanggup bermandi peluh, lenguh lutut, beratur panjang di sekolah anak.
Dan kalau pun rasa jumlah itu sedikit, kononnya tidak dapat membantu, ambil wang itu, berikan kepada yang betul-betul memerlukan. Sudah tentu dapat pahala bersedekah, daripada merungut-rungut dan mengutuk si pemberi.
Dalam pengurangan subsidi gula pula, perkara ini perlu diambil perhatian. Memanglah cadangan mengurangkan pengambilan gula itu amat baik sekali, demi untuk menjaga kesihatan. Tetapi yang tidak baiknya, kita bimbang peniaga-peniaga di restoran nanti termasuk penjual kuih di tepi jalan turut panjang akal menaikkan harga makanan.
Jadi, pemantauan terutamanya daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan amat diperlukan supaya rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga makanan pula. Nanti tidak pasal-pasal pula harga barangan keperluan lain yang tidak ada kena mengena dengan gula turut dinaikkan oleh peniaga-peniaga yang hanya menunggu peluang dan ruang untuk menaikkan harga barang.
Berbalik soal menguruskan kewangan, mahu atau tidak, setiap daripada kita perlu membuat perancangan bajet bulanan sendiri untuk menentukan keluarnya pendapatan bulanan itu ke mana perginya.
Urusan keluar masuk wang sepatutnya dihitung betul-betul. Adakah wang itu keluar untuk membiayai keperluan, bil-bil dan berapa banyak perbelanjaan digunakan untuk hal-hal berkaitan berlibur (sekiranya ada baki untuk itu). Dan berapa pula yang boleh disimpan untuk waktu-waktu kecemasan.
Sekiranya kita terus berbelanja secara selagi tidak habis, apa sahaja yang kita peroleh, termasuk bantuan yang jumlahnya kecil atau besar, tentunya tidak mencukupi. Dan itu yang menjadikan ramai yang sentiasa berasa tidak puas hati dan merungut dengan imbuhan yang diberikan.