TiaDa KaTa SeiNdaH BaHAsA...SelamAt DaTanG ke PenaMaNja.BloGsPot.CoM

Sabtu, 8 September 2012

HUTANG!!!

Views
HUTANG adalah perkataan yang paling digeruni apabila kita tidak mampu membayarnya. Bila menerima gaji, waktu itulah yang paling ditunggu dan waktu itu juga duit akan keluar seperti air untuk melunaskan segala hutang pinjaman. Sehingga tidak sempat untuk dipegang lama gaji yang diterima, terus sahaja mengalir seperti aliran air sungai yang deras.
Hal ini membuatkan kita merasa hidup ini seperti menjadi hamba untuk membayar rumah dan kereta . Itu semua adalah senario yang dihadapi semua orang terutama yang bekerja makan gaji.
Hutang rumah, kereta, pembiayaan peribadi dan setiap orang ada alasan masing-masing untuk berhutang. Apabila diminta untuk menjadi penjamin saudara mara atau kawan, maka kita akan cuba mengelak. Bukan sebab tidak mahu menolong tetapi menjadi penjamin akhirnya membuatkan kita secara tidak langsung akan terlibat dengan hutang. Malah penjamin selalu menjadi mangsa apabila saudara mara dan kawan yang dijamin tidak mampu membayar, dan dengan mudah boleh menghilangkan diri lalu membuatkan penjamin yang merana.
Rekod Jabatan Insolvensi (Jun 2012) menunjukkan sebanyak 116,379 kes muflis di negara ini dilaporkan di antara 2005 hingga April 2012. Sebanyak 20 peratus melibatkan individu berusia kurang 35 tahun. 32 peratus melibatkan golongan umur 35 hingga 44 tahun. Sebanyak 18 peratus melibatkan usia 45 hingga 54 tahun. Sebanyak 25 peratus kes muflis disebabkan beban hutang melibatkan pinjaman kereta, pinjaman peribadi (13 peratus), pinjaman perumahan (12 peratus), pinjaman perniagaan (11 peratus) dan hutang kad kredit (5 peratus). Pengurusan hutang perlu dilakukan secara bijak dan jika kita ada kelemahan itu maka jangan gunakan kad kredit.
Mengikut perkiraan awal, memang kita mampu membayar ansuran pinjaman tetapi apabila berlakunya perkara yang tidak dijangka seperti dibuang kerja, hubungan rumah tangga dan lain-lain, masalah akan mula timbul. Akhirnya ia menyebabkan hidup kita menjadi huru-hara, ada yang bercerai-berai, ada sehingga melibatkan Along diikuti dengan jenayah yang mengorbankan nyawa. Fikiran akan berserabut jika kita tidak dapat membayar hutang pada tarikh yang ditetapkan. Bank atau institusi pinjaman akan menelefon tidak henti-henti. Walaupun begitu ada juga bank yang mengambil pendekatan memahami dan memberi masa serta peluang untuk pelanggan membuat cara pembayaran yang efisien.
Bersembang tentang hutang ini, perbelanjaan yang berlebihan dengan adanya shopping online yang sangat popular kini merupakan satu sindrom apabila kita dapat membeli belah di hujung jari sahaja. Saya tidak begitu mahir dengan shopping online tetapi rakan-rakan sekerja hanya melayari Internet dan dapat membeli apa sahaja yang diinginkan dengan mudah, cepat dengan harga berpatutan. Barangan yang dihantar pula berkualiti maka itulah punca perasaan untuk membeli membuak-buak.
Itu juga punca masalah apabila kad kredit yang digunakan untuk membeli-belah akan menyebabkan kita lupa bajet bulanan. Jadi hilang ingatan sekejap apabila melihat tawaran-tawaran hebat yang boleh didapati dengan harga yang murah dari luar negara. Hutang kad kredit sangat berbahaya tetapi penggunaan kad debit atau charge card lebih selamat jika dibandingkan dengan kad kredit.
Insiden yang ingin saya kongsikan bersama adalah wujudnya andaian bahawa sikap ketagihan menggunakan kad kredit dan berbelanja khususnya kaum wanita dikatakan dapat menghilangkan tekanan. Membeli-belah menjadi terapi untuk melegakan kekusutan dan memberi penghargaan kepada diri sendiri namun terlalu leka boros akan menimbulkan masalah lain pula.
Statistik Harvard Business Review (HBR) menunjukkan mungkin tidak tepat pada beberapa keadaan terutamanya apabila anda adalah seorang yang menggalakkan perbelanjaan bijak dan membuat belanjawan. Kuantiti dalam realiti kes ini, percaya atau tidak majoriti daripada orang (62%) berbelanja atau membeli sesuatu ialah untuk memulihkan mood.
Kawan saya, Adi memberitahu bahawa isterinya terlalu gila membeli-belah sehingga perbelanjaan sebulan mencecah RM5,000. Akhirnya, Adi terpaksa mematahkan kad kredit di depan isterinya demi menyelamatkan masalah hutang yang semakin tinggi dan rumah tangga, dengan memilih memerdekakan diri daripada hutang. Ini berbeza dengan seorang kakitangan awam yang bersara, Sarjan Rohani pernah memberitahu saya bahawa tidak ada istilah hutang dalam hidupnya. Dia tidak suka berhutang kerana katanya malam-malam dia tidak boleh tidur jika berhutang. Semua keperluan akan dibeli secara tunai dan jika tidak mampu dia tidak akan membelinya. Katanya, apabila sudah bersara dia inginkan ketenangan dan tidak suka jika bank menelefon setiap bulan.
Bercakap tentang Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) pada 2009, seramai 78,000 peminjam disekat keluar negara kerana tidak membayar hutang PTPTN. Soalnya, bukan berapa banyak hutang kepada PTPTN tetapi soal prinsip dan moral; tentunya apabila kita meminjam maka hutang perlu dibayar.
Menurut Datuk Ismail Mohamad Salleh, Pengerusi PTPTN kepada Kosmo! baru-baru ini, seramai 70% peminjam tabung melunaskan hutang. Namun begitu, sebanyak satu peratus caj perkhidmatan pentadbiran atau ujrah akan dicajkan kepada yang belum membayar dan amat relevan jika dibandingkan dengan 4% dari bank-bank lain. Sebanyak RM44 bilion peruntukan telah dipinjamkan kepada 1.94 juta penuntut dalam dan luar negara.
Peraturan asas pengurusan kewangan nampak mudah tetapi hakikatnya sukar. Senang cerita, " besar periuk besarlah keraknya". Tidak kira berapa gaji kita, jangan sesekali berbelanja melebihi pendapatan. Berjimat walaupun sedikit boleh memberi kesan besar pada tabungan. Jadualkan perbelanjaan dan lunaskan hutang kad kredit, mencarum dalam pelan persaraan, menabung, melabur dan tingkatkan caruman skim kemudahan untuk pekerja dan kita semak liputan insurans.
Merdeka dari hutang membawa erti tersendiri untuk kita hidup dengan lebih tenang. Kita baharu menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dengan tema 'Janji Ditepati'. Janji kita tepati dengan ukur baju di badan sendiri dan ingatkan diri sendiri dengan mengawal diri dan fikir apa yang perlu dan tidak perlu untuk kita dalam berbelanja.
Belanja mengikut kemampuan dan kita tidak perlu rasa rendah diri jika tiada kemampuan. Kita sebenarnya patut bangga kerana walaupun tidak mampu memiliki barangan mewah namun kita tidak berhutang. Bukankah itu lebih bermakna dan lena dibuai mimpi setiap malam?
Berhutang ada banyak buruk daripada baiknya. Jika kita berhutang untuk membeli aset seperti rumah dan kereta sebagai jaminan untuk masa depan, itu ada baiknya. apa yang penting adalah menguruskan hutang dengan bijak dan mengawal segalanya dengan baik sebab kitalah penentunya. Beli mengikut kemampuan bukan dengan nafsu. Merdeka! Salam 1Hati.
Penulis : DR. JESSICA ONG HAI LIAW ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Khamis, 6 September 2012

'SANG SAKA MALAYA'PESONGKAN SEJARAH

Views
KUALA LUMPUR 5 Sept. - Tokoh-tokoh sejarah menyifatkan dakwaan kumpulan yang mengibarkan bendera Sang Saka Malaya pada Himpunan Janji Bersih Khamis lalu kononnya ia bendera asal Tanah Melayu, sebagai dangkal dan jahil terhadap sejarah negara ini.
Ini kerana kata mereka, Tanah Melayu tidak pernah menggunakan bendera seiras Singapura itu sebagai bendera rasmi biarpun ketika dijajah oleh kuasa luar.

Sebaliknya, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, warna merah putih yang dinamakan Sang Saka itu adalah bendera yang digunakan kumpulan penyokong pembentukan Indonesia Raya, yang sentimennya dimulakan di Tanah Melayu pada 1938 oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan Ibrahim Yaakob.
Bekas Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menjelaskan, matlamat KMM pada waktu itu adalah menggabungkan Tanah Melayu dengan republik Indonesia bagi membentuk Melayu Raya untuk mencapai kemerdekaan.
Bagaimanapun, majoriti orang Melayu di Tanah Melayu ketika itu menolak perjuangan mereka kerana orang Melayu kukuh mendukung institusi Raja-Raja Melayu dan Islam menyebabkan majoriti memilih perjuangan UMNO," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan blogger Singa Selatan yang mengaku membawa Sang Saka Malaya pada perhimpunan tersebut kerana beranggapan ia adalah simbolik panji perjuangan dalam menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu.
Pada perhimpunan berkenaan, risalah menggesa Jalur Gemilang ditukar kepada bendera tersebut turut diedarkan.
Jelas Ramlah, setelah KMM diharamkan, ideologi itu diteruskan pula oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Mokhtaruddin Lasso, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ahmad Boestamam.
Mereka menggunakan bendera Sang Saka dalam ceramah mereka, namun perjuangan mereka ditolak majoriti rakyat Tanah Melayu. Kini, saki-baki pendukung ideologi itu cuba menghidupkannya semula," ujarnya.
Pendapat sama turut dikongsi seorang lagi pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim yang melihat dakwaan itu sebagai syok sendiri serta salah satu cubaan untuk menukar pemahaman sejarah rakyat negara ini.
Katanya, bukan kumpulan tersebut yang menentukan bendera bagi negara ini kerana majoriti rakyat telah sebulat hati menerima Jalur Gemilang bagi mewakili mereka sejak 55 tahun negara mencapai kemerdekaan.
Yang ada dahulu sebelum Merdeka adalah bendera mewakili kerajaan sahaja, kerana sebelum 1957, tiada lagi negara bangsa seperti sekarang. Justeru, jangan kita dikelirukan oleh tanggapan segelintir kecil pihak yang mahu mengembalikan nostalgia KMM dan PKMM itu," kata beliau.
Utusan Malaysia 6/9/12

Rabu, 5 September 2012

BN MAMPU PEROLEH MAJORITI

Views
SOLO (Jawa Tengah) 4 Sept. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar) yakin Barisan Nasional (BN) mampu memperoleh majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang jika ahli-ahli parti berkenaan memiliki pemikiran yang waras.
Katanya, pemikiran waras yang dimaksudkan ialah mereka tidak mensabotaj parti hanya kerana tidak berpuas hati dengan calon yang dipilih.
Dr. Mahathir menegaskan, jika budaya suka mensabotaj parti diteruskan dalam pilihan raya umum akan datang, ia hanya akan mengundang petaka kepada BN.
"Kalau orang-orang UMNO, orang-orang BN mempunyai fikiran yang waras mereka akan dapat dua pertiga. Tapi kalau depa nak main, orang ini tak suka, orang itu tak suka, kalah pun boleh," kata Dr. Mahathir pada sidang akhbar bersama wartawan Malaysia di sini semalam sebelum menghadiri majlis makan malam bersama Kelab UMNO Indonesia.
Beliau berada di sini untuk menerima anugerah Ijazah Kehormat Ilmu Sosial dan Budaya dalam bidang Kepimpinan dan Pemberdayaan Bangsa Melayu oleh Universti Sebelas Maret Indonesia (UNS-Solo).
Dr. Mahathir yang juga Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana turut menyampaikan ceramah bertajuk Kedamaian Sejagat dan Kriminalisasi Perang: Inisiatif Serantau di Universiti Muhammadiyah, Yogyakarta.
Dr. Mahathir yang bersara sebagai Perdana Menteri pada 2003 turut menegur sikap sesetengah ahli BN yang sentiasa sahaja tidak berpuas hati apabila pucuk pimpinan parti mengumumkan senarai calon dalam pilihan raya umum.
Menurut beliau, apa yang paling utama dan perlu diberi penekanan oleh ahli-ahli ialah memastikan parti yang berwibawa seperti BN menubuhkan kerajaan termasuk menyokong calon bukan dari ahli parti.
"Payung terjun pun payung terjun la, kalau dia berkebolehan kita patut sokong kerana akhirnya parti akan menang," tegas Dr. Mahathir.
Pada satu soalan lain, Dr. Mahathir optimis BN masih boleh mengekalkan kuasa pemerintahan seandainya PRU diadakan esok.
"Saya ingat boleh menang, tapi masalahnya kita nak dapat satu majoriti yang cukup supaya mendirikan sebuah kerajaan yang kukuh dan kuat," kata beliau lagi. - UTUSAN

Selasa, 4 September 2012

JALUR GEMILANG ROH KEMERDEKAAN

Views
SIAPA kata Jalur Gemilang bukan ciptaan anak negeri atau warganegara Malaysia?
Kalau dilihat aksi provokasi dua pemuda mengibarkan bendera merah putih yang mereka namakan 'Sang Saka Malaya' untuk menggantikan Jalur Gemilang, yang terpampang di muka depan akhbar ini semalam, bukankah itu kelihatannya seperti bendera Singapura atau bendera Indonesia?
Sebenarnya, isu untuk menggantikan Jalur Gemilang dengan reka bentuk lain, bukanlah isu baru. Ia mula-mula sekali dibangkitkan oleh aktivis sosialis atau pendemonstrasi jalanan, Hishammuddin Rais dua tahun lalu.
Kalau anda boleh layari satu bual bicara penyokong kuat pembangkang ini dalam program Rentakkini.TV ketika mengulas sambutan Hari Kemerdekaan ke-53 tersebut, Hishamuddin telah menguar-uarkan bahawa Jalur Gemilang diciplak dari bendera Amerika Syarikat. Katanya selain lagu Negaraku, ia wajib diubah kerana kedua-duanya bukan garapan anak negeri.
Apabila diajukan cercaan Hishamuddin itu kepada Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan yang kebetulan penyokong tegar Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu adalah rakan seangkatannya di Universiti Malaya (UM) suatu ketika dulu, Fuad mengingatkan:
"Bendera adalah simbol kewujudan bangsa, maruah serta kemuncak perpaduan bangsa. Kalaupun ada unsur pinjam meminjam, ia sesuatu yang lumrah.
Tetapi yang penting, ia diubah suai mengikut latar belakang budaya, sejarah dan perkembangan negara masing-masing.
"Paling penting, makna kemerdekaan."
Fuad menarik perhatian yang mana dengan sedikit perubahan, sesuatu bendera itu boleh diukir dengan meminjam idea dari bendera negara lain. Apatah lagi, jika kedua-dua negara ada hubungan penjajahan.
"Cuba kita lihat bendera Australia ada persamaan dengan British. Bendera Singapura mirip bendera Indonesia.
"Yang dicadangkan bendera negara ini turut sama dengan Indonesia itu adalah kehendak Ibrahim Yaakob yang ketika itu hendak bersama Ahmad Boestaman, pejuang nasionalis kiri yang mahu Malaya merdeka bersama Indonesia, dalam konsep Indonesia Raya. Mereka juga hendak merdeka sekali bersama Filipina," kata beliau.
Dan hakikatnya, kalau dilihat bendera Amerika Syarikat mirip bendera Syarikat Hindia Timur British. Malah, bukan sahaja bendera Amerika Syarikat, bendera empayar Majapahit, Pulau Bikini Atoll dan Liberia juga menyamai corak berjalur-jalur bendera Syarikat Hindia Timur berkenaan.
"Malah, bendera Amerika Syarikat juga telah 26 kali berubah reka bentuknya sejak tahun 1777 tapi tidak menghilangkan jalurnya.
"Bendera Amerika ambil idea daripada Syarikat Hindia Timur British. Hubungan pinjam meminjam ini lumrah tetapi dipindahkan dengan disesuaikan budaya, sejarah negeri dan geografi negara masing-masing tanpa mengurangkan nilainya," katanya.
Menyangkal lagi dakwaan Jalur Gemilang bukan ciptaan anak tempatan, Fuad berkata, ciptaan bendera negara ini telah dipertandingkan dengan sebanyak 373 rekaan diserahkan kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan. Dan menerusi pemilihan yang dibuat pada 15 November 1949, hanya tiga disenarai pendek.
Bagaimanapun, sebelum diumumkan, ada beberapa cadangan dibuat. Contohnya, permintaan Sultan Kedah yang meminta supaya bulan sabit putih ditukar kepada warna kuning. Ia untuk mewakili Raja-Raja Melayu.
Justeru, pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan setelah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja Melayu, maka satu rekaan telah dicadangkan oleh Sultan Kedah dan diberikan kepada pemangku Ketua Setiausaha Negara untuk dijadikan bendera Persekutuan Malaya.
"Dan seorang arkitek di Jabatan Kerja Raya (JKR) di Johor, Mohamad Hamzah telah diumumkan sebagai pemenang. Pada 19 Mei 1950, bendera Malaysia dinaikkan di hadapan Istana Selangor, diikuti pada 31 Ogos 1957 dinaikkan di Dataran Merdeka untuk menggantikan Union Jack.
"Jadi, tidak betul dakwaan Hishammuddin itu bendera kita adalah hasil ciplak dari negara asing," katanya.
Dalam perbualan hampir 20 minit dengan kami, Fuad bagaimanapun terdiam sejenak. Beliau teringatkan bapanya, Tan Sri Hassan Azhari, 84, yang mempunyai nilai sentimental pada hari negara mengecap kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 itu.
"Bapa yang ketika itu berusia 25 tahun telah diminta oleh Menteri Pelajaran waktu itu, Datuk Abdul Rahman Talib atas jemputan Tunku (Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj) untuk membaca azan selepas pengisytiharan merdeka.
"Ia untuk memberi roh kepada kemerdekaan. Dan ia (azan) bukan dalam bentuk 'Hijaz' iaitu melankolik atau mendayu-dayu tetapi dalam bacaan yang lebih bersemangat," katanya.
Dan benarlah bendera itu bukan sekadar bendera.
Jalur Gemilang itu roh kemerdekaan.
Sumber : Utusan Malaysia 4/8/2012

Isnin, 3 September 2012

RAYA DULU!BARU PILIHANRAYA!

Views
DALAM satu sidang akhbar di Mekah pada bulan Ramadan lalu, Perdana Menteri Najib Tun Razak ditanya mengenai Pilihan Raya Umum Ke-13. Persoalan itu dilontarkan kalau-kalau Perdana Menteri sudah mendapat ilham mengenai PRU itu ketika berada di Tanah Suci Mekah untuk menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Najib hanya ketawa mendengar soalan itu tetapi menjawab: ''Kita raya dulu (Hari Raya Aidilfitri) kemudian baru pilihan raya''. Memang betullah jawapan Perdana Menteri itu kerana menjelang tarikh pembubaran itu sudah tidak ada lagi hari raya kecuali hari raya haji atau Hari Raya Aidiladha. Adakah selepas hari raya haji?
Seorang sahabat di Pulau Pinang pula memberitahu, dalam satu khutbah hari raya baru-baru ini, seorang khatib menyebut tahun ini, akan ada tiga raya iaitu Hari RAYA Aidilfitri, Hari RAYA Aidiladha dan Pilihan RAYA Umum Ke-13. Tidak pasti pula sejauh mana kebenaran bahawa khatib turut membangkitkan isu PRU dalam khutbah. Adakah PRU13 akan 'datang' juga tahun ini?
Berdasarkan ucapan-ucapan yang dibuat oleh Najib sejak kebelakangan ini, PRU semakin hampir, sama hampir dengan tempoh pembubaran wajib Dewan Rakyat dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan berlaku menjelang pertengahan tahun depan. Tetapi soalnya bila? Adakah pada bulan Oktober selepas sambutan Hari Malaysia (16 September), atau selepas pembentangan Bajet 2013 (28 September) atau pada bulan November selepas Hari Raya Aidiladha yang dijangka jatuh pada 26 Oktober. Terserahlah kepada Perdana Menteri untuk menentukan bilakah masa yang sesuai untuk membubarkan Dewan Rakyat dan kemudiannya menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.
Kepada 28,000 bakal haji tidak perlulah risau dengan tarikh pilihan raya ini. Jika seruan sudah sampai terima sahaja. Seronok dapat menjadi tetamu Allah ini. Biarlah orang yang benar-benar 'hidup' dengan politik meneruskan agenda mereka di sini dalam menghadapi PRU. Dan apabila berada di sana nanti, doakan yang baik-baik untuk Malaysia. Jangan pula ada jemaah yang terlalu kuat berpolitik menyesal jika PRU datang selepas musim haji. PRU juga boleh diadakan pada tahun depan.
Tetapi menjelang tempoh itu sudah tentulah, parti-parti politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang akan terus mengadakan kempen tidak rasmi untuk mencari undi. Jika pakatan DAP-Pas-PKR (3P) meneruskan kempen 'Menuju Putrajaya', Barisan Nasional (BN) pula akan berusaha untuk menahan kemaraan pakatan itu melalui 'sekatan politik'. Semua gerak kerja politik ini menyebabkan ramai yang 'keletihan'. Sudah kedengaran suara-suara mengenai mereka sudah letih bekerja dan tidak sabar lagi menunggu PRU. Ada juga yang memberitahu 'poket' mereka dah mula kering. Mereka mahu penantian itu ditamatkan segera dengan mengadakan PRU.
Dengan tinggal tidak sampai enam bulan kepada pembubaran sama ada Dewan Rakyat atau DUN, setiap parti politik pastinya akan terus melipat gandakan usaha untuk memastikan kemenangan besar pada PRU akan datang. Maka tidak ada istilah letih dalam perjuangan seperti kata Najib kelmarin. Mereka tidak boleh berundur walaupun seinci. Dan ketika bahang PRU semakin dirasai, banyak isu ditampilkan untuk memikat hati pengundi. Isu yang tidak sepatutnya dijadikan isu menjadi isu besar.
Tema Hari Kemerdekaan kali ini iaitu Janji Ditepati juga menimbulkan keresahan parti pembangkang. Tema itu sesuatu yang amat 'menakutkan' pakatan 3P kerana mereka sedar tidak banyak janji pada PRU lalu yang mampu ditepati. Jika ada pun sekadar 'melepaskan batuk di tangga' atau hanya akhir-akhir ini sahaja dilaksanakan, yang melibatkan kelompok tertentu.
Dalam erti kata lain melaksanakan janji sekadar ada supaya tidak dijadikan isu oleh pihak lawan. Akhirnya janji yang termaktub dalam manifesto PRU lalu bukanlah janji yang harus ditepati, ia bukan perjanjian yang mesti ditunaikan. Manifesto bukan lagi satu perjanjian! Manifesto ibarat karangan indah. Lambat laun rakyat akan sedar dan mungkin lahirlah pula slogan seperti Janji Dimungkiri, Rakyat Dibohongi.
Dalam menutup 'kesilapan dan keresahan' ini, ada pula pihak yang gagal memperlekehkan kerajaan menggunakan sentimen membenci pemimpin. Mereka ini akan berusaha mencari jalan untuk menjatuhkan maruah pemimpin. Contohnya seperti yang jelas dapat dilihat melalui tindakan biadab dan tidak bertamadun seperti yang berlaku pada malam menyambut ulang tahun kemerdekaan baru-baru ini.
Apakah dengan memijak gambar pemimpin, mereka ini mendapat kepuasan yang sebenarnya? Entah apa yang merasuk pemikiran orang seperti ini. Apakah perasaan mereka jika gambar mereka juga diperlakukan sedemikian rupa oleh orang lain?
Bayangkan sejenak apa reaksi mereka jika gambar ibu bapa atau keluarga terdekat mereka juga dilakukan sedemikian? Semoga tindakan seumpama ini tidak akan menjadi budaya baru rakyat Malaysia selepas 55 tahun menikmati kemerdekaan. Mungkinkah satu masa nanti, Jalur Gemilang juga akan dipijak-pijak oleh generasi baru yang tidak tahu apa-apa atau buat-buat tidak tahu mengenai perjuangan generasi terdahulu menuntut kemerdekaan?. Ini semua bukanlah sesuatu yang mustahil kerana sebelum ini sudah ada warganegara Malaysia termasuk yang bertaraf pemimpin dan wakil rakyat yang sanggup memperlekehkan Jalur Gemilang dan lagu Negaraku. Mereka terlalu memusuhi simbol-simbol yang ada di negara ini. Entah bagaimana generasi sebegini dilahirkan.
Mereka ini sebenarnya sudah terlalu selesa dengan kehidupan dalam sebuah negara seperti Malaysia. Kehidupan mereka seolah-olah tidak tercabar seperti apa yang berlaku di negara lain. Mereka ini ingin merasai 'nikmat' bagaimana demonstrasi dapat menjatuhkan pemimpin dan negara.
Keadaan ini tentunya sedikit sebanyak dipengaruhi juga oleh politik yang cuba mempengaruhi jiwa anak-anak muda atau generasi lama ini supaya 'memberontak'. Mereka juga amat resah apabila ada pemimpin yang berlainan fahaman politik boleh duduk bersama. Contohnya seperti yang berlaku di Mekah pada hari-hari terakhir Ramadan lalu. Apabila melihat bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa bersama Perdana Menteri, riuh rendah jadinya. Banyak pandangan negatif.
Pada hal Nasharudin menunjukkan rasa hormat kepada pemimpin dan tujuannya bersama Perdana Menteri juga bukanlah kerana politik, sebaliknya untuk ummah dan negara. Apakah sesuatu yang baik harus ditentang kerana fahaman politik yang berbeza? Malang sungguh mereka yang berfikiran sedemikian. Mungkin, pandangan mereka terhadap Nasharudin akan berubah jika di sebelahnya adalah mereka yang 'memusuhi' seorang Perdana Menteri.
Hassan Mohd Noor
Sumber:Utusan Malaysia 3/9/12
P/S:SANDAKAN 2 Sept. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak 'membayangkan' Pilihan Raya Umum Ke-13 mungkin diadakan November ini.
"Tahun ini amat unik, genap 66 tahun usia UMNO, 55 tahun negara mencapai kemerdekaan dan UMNO sudah bertapak selama 22 tahun di Sabah.
"11 darab 6 (UMNO), 11 darab 5 (merdeka), 11 darab 2 (UMNO Sabah), semuanya ada kaitan dengan angka 11," katanya sambil melirik senyuman. Mungkinkah PRU ke 13 akan berlangsung pada November ini??

TEMA JANJI DITEPATI, PARANOID PEMBANGKANG

Views
EKORAN kegagalan menunaikan janji sejak berpeluang menjadi kerajaan di beberapa buah negeri, pakatan pembangkang seolah-olah dilanda paranoid apabila tema perayaan ulang tahun kemerdekaan negara menggunakan slogan 'Janji Ditepati'.
Menariknya pada tahun ini, pakatan pembangkang seolah-olah dikepalai oleh keputusan seorang pemuisi apabila bersetuju menggunakan tema 'Sebangsa, Sejiwa dan Senegara' dalam sambutan hari bersejarah itu di negeri-negeri dikuasai pembangkang.
Percubaan pakatan pembangkang untuk mengetepi atau membantah penggunaan tema tersebut berkait rapat dengan kegagalan mereka dalam menunaikan janji-janji yang pernah mereka keluarkan, terutama ketika berkempen dalam pilihan raya umum lalu.
Setelah lebih empat tahun memerintah, dan hanya tinggal beberapa bulan lagi sebelum pilihan raya baharu diadakan, pakatan pembangkang begitu cemas sama ada berjaya mengekalkan kuasa ataupun mencapai matlamat menawan Putrajaya.
Gelisah itu merungkaikan bahawa pakatan pembangkang terpaksa menggunakan apa sahaja kesempatan bagi membolehkan matlamatnya tercapai, termasuk menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap rencana transformasi yang dicetuskan oleh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak mengambil alih pentadbiran negara pada awal April 2009, yakni lebih setahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.
Susunan dasar yang lebih mengutamakan rakyat dan memahami setiap permasalahan mereka menyebabkan pakatan pembangkang terasa pengaruhnya mula merosot dengan drastiknya kerana kecenderungan anak muda sudah mula mempercayai kerajaan yang memerintah.
Beberapa pengiktirafan yang diterima oleh kepimpinan Najib, termasuk mendapat kredit sebagai negara Islam contoh dari para ulama antarabangsa, menjadikan kelompok yang mendakwa pertubuhannya mewakili wadah politik Islam terdesak untuk menafikannya sebagai sesuatu niat bertujuan politik.
Terbaharu, apabila ada ulama politik dalam parti pembangkang menuduh bahawa nilai-nilai Islam yang diterapkan dalam pentadbiran kerajaan sejak dimulakan pada 1983, kesungguhan meletakkan dasar yang kukuh dalam memainkan peranan sebagai hab perbankan Islam, pembangunan industri halal, menggalakkan pemilikan sijil halal dalam produk makanan, minuman dan pakaian yang melibatkan orang Islam, kepesatan kemasukan pelancong dari Asia Barat, pusat kecemerlangan pendidikan serantau telah mula menampakkan kejayaan.
Penggunaan tema yang dicadangkan oleh pakatan pembangkang itu sebenarnya bukanlah keputusan bersama, kerana konsep 'sebangsa' sejak sekian lama menjadi kritikan tajam atas sifatnya yang berbau asabbiyyah kaumiyah. Konsep 'sejiwa' mengandung maksud yang boleh dianggap negatif kerana dua jiwa yang bermasalah cuba disatukan menjadi sebuah kesatuan yang tidak mungkin dapat dipertahankan selama-lamanya.
Persoalannya, bagaimana kategori 'sejiwa' boleh diterima oleh sebuah parti yang cuba menjadikan Islam sebagai doktrin politik kerana dalam masa sama menjana kemarahan sekutunya yang bukan beragama Islam. Persoalan hukum hudud misalnya, dua pihak yang bersebarangan pada awalnya masih belum boleh menerima hakikat tersebut, sebaliknya masih kekal dengan keputusan akan menentangnya sampai bila-bila.
Perspektif itu sudah mencerminkan konsep sejiwa tidak boleh dicapai atas alasan, dari sudut pandangan dan pendirian juga sudah berbeza. Konsep sejiwa mungkin boleh menjadi kenyataan apabila kedua pihak itu 'membina rumah tangga' seadanya, saling menerima kelemahan dan kekuatan masing-masing, kerana itulah kenyataan perkongsian kuasa.
Itu adalah syarat dalam konsep 'sejiwa' jika menurut perspektif yang pernah difatwakan oleh pemimpin kanan sebuah parti yang menjadikan Islam sebagai doktrin politiknya. Disebabkan fatwa itu masih meninggalkan kesan yang meluas dan sebati dengan pendokong tegar parti tersebut belum ditarik balik sepenuhnya, ini bermakna perkenan 'sejiwa' hanyalah sebuah istilah yang bersifat puitis dan kedalaman maknanya tidak menjejaki hati dan perasaan. Ia hanyalah lakaran kata-kata indah dari segi bahasa tetapi kekosongan tindakan dan makna.
Pakatan pembangkang diserang paranoid setelah semakin ramai penyokongnya mula menukarkan haluan politik manakala rakyat yang pernah mengundi mereka semakin resah menantikan 'buah' yang tidak pernah gugur sejak mula berputik. Tempoh selama empat tahun, bahkan ada keadaan melebihi dua dekad masih belum ditunaikan sehingga kemeriahan Aidilfitri bertukar menjadi 'bara dendam' apabila pili yang dipasangkan tidak juga mengeluarkan air bersih dan setiap bulan bil terpaksa dibayar.
Hak dan kemenangan mereka dalam pilihan raya tidak pernah dinafikan, malah kedudukan mereka dalam sistem pemerintahan terus mendapat perhatian. Tidak timbul masalah penyingkiran dan diskriminasi, sebaliknya prinsip kebebasan dan keadilan yang mereka perjuangkan semakin membuktikan doktrin itu hanya 'janji kosong' yang hanya 'manis di bibir tetapi lidah tetap mencuka'.
Dalam kegundahan emosi, paranoid pembangkang terus mengalir deras sehingga menampakkan sikap sebenar kepimpinan yang tidak berusaha memenuhi apa yang dijanjikan. Menurut telahan, lebih 85 peratus janji yang pernah dibuat tidak dilaksanakan manakala kerajaan yang memerintah sentiasa mempamerkan hasilnya sehingga hampir tercapai sepenuhnya.
Paranoid yang melanda pakatan pembangkang sebenarnya amat sukar ditangani, kerana puncanya ingin membalas dendam. Membalas dendam tidak mudah dihapuskan kerana si pendendam tetap melihat kebaikan orang lain sebagai sesuatu senjata tajam yang terus menikam hasrat dan cita-citanya.
Justeru, meraikan hari kemerdekaan pada tahun ini adalah sesuatu yang amat signifikan dengan temanya, 'Janji Ditepati' kerana buktinya makin banyak, rakyat yang susah dibantu, sistem perumahan mampu milik diberikan perhatian, sektor pendidikan terus dipertingkatkan kerana kerajaan sedar, menerusi pembangunan sumber manusia dan kecerdikan mindalah negara mampu melonjakkan keupayaannya mencapai status negara maju pada tahun 2020 nanti.
Bila difikirkan secara mendalam, apakah slogan 'Sebangsa, Sejiwa dan Senegara' boleh dilaksanakan sepenuhnya? Bahkan dalam konteks mana sekalipun 'Janji Ditepati' lebih realistik, kerana ia lebih bersifat praktikal dan budaya hidup yang wajib dilaksanakan oleh setiap orang, terutama umat Islam.
Pada hakikatnya Allah SWT amat murka kepada mereka yang hanya tahu berjanji, tetapi enggan menunaikannya. Ini ditegaskan dalam firman-Nya bermaksud: "Tepatilah dengan perjanjian sesungguhnya perjanjian itu akan dipersoalkan" (maksud al-Quran Surah al-Israa ayat 34).
Demikian juga ditegaskan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "tiada iman bagi mereka yang tidak dapat dipegang dengan janjinya" (Riwayat Ahmad).
Dalam satu hadis sahih Bukhari lain, Baginda juga ada bersabda yang bermaksud sikap mungkir janji ini juga adalah bukti jelas yang memastikan seorang itu bukan mukmin yang baik bahkan ia adalah seorang munafik yang perlu diawasi dan dijauhi. Ini bertujuan agar seorang itu terselamat daripada segala tipu daya yang licik itu.
Oleh demikian janganlah kita membiarkan diri kita dijadikan sebagai tong sampah tempat buangan sampah fitnah dan janji bohong mereka yang berhati munafik ini. Ingat seperti mana sabda nabi SAW yang bermaksud: "Tanda orang munafik itu tiga iaitu bila bercakap ia bohong, bila berjanji ia mungkir dan bila diberi kepercayaan ia khianati".
DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)