KUALA LUMPUR 4 Jun - Kerajaan diminta mewujudkan undang-undang
baharu dengan mewajibkan pengendali media sosial serta portal berita di negara
ini mempunyai lesen seperti di Singapura dalam usaha membendung budaya fitnah
serta menghasut menerusi saluran itu.
Presiden
Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Datuk Seri
Dr. Saharuddin Awang Yahya berkata, peraturan itu diyakini mampu
melindungi pengguna media sosial daripada terpengaruh dengan penyebaran
maklumat tidak benar serta berunsur hasutan.
"Jika
semua portal perlu mempunyai lesen atau setidak-tidaknya berdaftar, pastinya
lebih mudah kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak
bertanggungjawab menyebarkan berita-berita palsu atau berbentuk menghasut.
"Sudah
banyak negara yang melaksanakan peraturan seperti itu dan langkah tersebut
dilihat berkesan dalam usaha membendung laman sosial menjadi ejen musuh bagi
meruntuhkan kestabilan sesebuah kerajaan," katanya ketika dihubungi Utusan
Malaysia di sini hari ini.
Menteri
Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam berkata,
kerajaan tidak akan terburu-buru membuat keputusan dan mencontohi
penguatkuasaan dilakukan negara jiran itu dalam membendung budaya fitnah
menerusi media sosial.
Baru-baru
ini, Singapura menerusi Lembaga Pembangunan Media negara itu mengumumkan
peraturan pelesenan bagi laman web berita termasuk portal Yahoo! tempatan akan
tertakluk seperti dikenakan terhadap media tradisional.
Dalam
pada itu, Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM), Dzukarnain Taib juga
menyokong sekiranya kerajaan mahu mewajibkan portal berita di negara ini
didaftar atau dilesenkan.
Tegas
beliau, langkah itu wajar dilaksanakan kerana terlalu banyak portal berita
serta laman blog yang didapati aktif menjalankan aktiviti memecah-belahkan
masyarakat serta menggugat kestabilan politik negara.
"Sudah
tiba masanya bagi kerajaan bertegas bagi menghentikan budaya benci, fitnah dan
tohmah daripada disebar luas oleh portal berita yang tidak beretika.
"Sehubungan
itu, peraturan itu perlu diwujudkan supaya portal-portal berita lebih
bertanggungjawab dalam menyalurkan maklumat bagi menjamin asas perpaduan kaum
dan keharmonian negara terus terpelihara," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Semua Komen Amat Dihargai. Terima Kasih