TiaDa KaTa SeiNdaH BaHAsA...SelamAt DaTanG ke PenaMaNja.BloGsPot.CoM

Rabu, 22 Mei 2013

BERSYUKUR DENGAN APA YANG KITA ADA

Views

Ketika anda membaca cetusan ini, seorang pakar motivasi muda yang istimewa barangkali sedang berdiri atas meja dan berucap dengan penuh semangat di hadapan ribuan penuntut universiti swasta di tanah air kita.
Seperti apa yang berlaku di banyak tempat lain, ucapannya (dijadualkan jam 9.30 pagi ini) saya kira, tentunya membuat hampir semua yang mendengar, mengalirkan air mata.
Mereka menangis bukan kerana isi ucapannya hebat sangat, tetapi kerana caranya bersahaja, wajahnya ceria dan kelihatan begitu yakin seolah-olah dia menikmati segala-galanya.
Seolah-olah dia tidak pernah hadapi masalah, miliki segala kesempurnaan dalam hidup, sedangkan realitinya jauh dari itu.
Namanya Nick Vujicic. Lelaki Serbia peranakan Australia yang berusia 30 tahun itu sebenarnya tiada kedua tangan dan kaki. Beliau berdiri seperti sebiji mentimun raksasa yang bergerak.
Beliau menghidap apa yang dipanggil sindrom tetra amelia; tiada tangan dan kaki. Apa yang ada hanya sesuatu umpama kaki itik di sudut paha.
Menurut ceritanya sendiri, dia pernah nekad mahu membunuh diri di bilik air ketika berusia 10 tahun kerana merasa kecewa.
Tetapi niatnya itu dihalang oleh semangat kental yang terbina dalam dirinya setelah melihat tekanan hidup orang lain yang lebih teruk daripadanya.
Sejak kanak-kanak, Vujicic, yang lahir di Melbourne, Australia, belajar lakukan pelbagai perkara yang difikirkan mustahil, termasuk berenang dan menaip.
Dalam bidang akademik, dia melanjutkan pelajaran ke universiti dan memiliki ijazah bidang perakaunan serta ijazah pelan kewangan.
Pada 12 Februari 2010, Vujicic mendirikan rumah tangga dengan Kanae Miyahara dan pada 13 Februari lalu mereka dikurniakan cahaya mata.
Setakat ini, lelaki istimewa ini sudah menjelajah kira-kira 30 negara dan memberi kata perangsang kepada lebih tiga juta orang, termasuk pelajar. Mesej ceramahnya ialah mengenai harapan dan keyakinan diri sendiri dan percaya kepada kuasa Tuhan.
Motonya mudah: No arms, no legs, (and) no worries! Tak hairanlah jika beliau sentiasa mempamerkan wajah riang, menceritakan kisah hidup dan mencurahkan isi hatinya kepada seberapa ramai orang yang mungkin untuk menceriakan manusia lain dan membuat hidup mereka lebih bermakna.
Vujicic mengingatkan kita tentang apa penerimaan kita terhadap apa yang kita ada dan setakat mana kita bersyukur dengan apa yang kita ada.
Dari segi fizikal, kebanyakan daripada kita dikurniakan nikmat yang orang seperti Vujicic tidak ada. Tetapi sementara orang seperi Vujicic menjelajah merata pelosok dunia membawa mesej kesejahteraan hidup, bagaimana kita menerima pemberian yang ALLAH kurniakan kepada kita?
Apakah kita tidak mahu bersyukur? Atau kita persia-siakan kurniaan ALLAH itu?

Sebagai contoh, kita sudah pun melalui PRU dengan lancar dan aman, tanpa dicemari insiden hodoh, walaupun riuh-rendah di seluruh negara. Ia begitu sengit, digelar ‘ibu segala pilihan raya’, tetapi ia berlangsung dengan selamat. Semuanya berlaku bukan kerana kita bijak, tetapi kerana ALLAH mahu ia berlaku begitu; tanpa insiden.
Jika ALLAH mahu sesuatu yang tidak boleh dibayangkan berlaku, siapa kita untuk menyekatnya? Apakah tidak kita bersyukur? Kita perlu perbanyakkan ucapan alhamdulillah dan perbaiki perjalanan hidup kita, mengikut kehendak ALLAH, bukan kehendak kita.
Kita boleh cuba mencapai matlamat dengan menghalalkan cara, tetapi kita mesti bersedia berdiri dan bertanggungjawab ketika kita berhadapan dengan ALLAH nanti.
Kita tahu, di negara lain, pilihan raya dicemari dengan pelbagai insiden, bukan sekadar penipuan, rasuah, pergaduhan, dan salah guna kuasa, tetapi kecederaan dan kehilangan jiwa. Negara dan rakyat porak-peranda.
Tetapi kita, dalam riuh-rendah, masih selamat, masih boleh beribadat dengan selesa dan masih boleh tersenyum.
Dalam keadaan begini, saya selalu suka renungi pepatah Cina: Anda ingat anda malang kerana tiada berkasut hinggalah anda terserempak dengan orang yang langsung tidak mempunyai kaki!
Kata-kata hikmat berbunyi: 
"Kadang-kadang kita inginkan apa kita lihat orang lain dapat, tapi kita lupa sebenarnya kita sudah miliki apa yang ALLAH beri pada kita.

Kita akan lebih bahagia dan bersyukur jika kita ingat bahawa di sebalik sesuatu kekurangan, tersembunyi kelebihan!"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Semua Komen Amat Dihargai. Terima Kasih