TiaDa KaTa SeiNdaH BaHAsA...SelamAt DaTanG ke PenaMaNja.BloGsPot.CoM

Khamis, 4 Oktober 2012

PERANCANGAN BAJET

Views
BERAPA banyak pun bantuan dan peruntukan yang diberikan, sekiranya tidak diuruskan dengan baik, akhirnya balik ke asal juga.

Kata sesetengah orang, berapa tinggi pun jumlah gaji yang kita dapat setiap bulan, sebenarnya tidak memberi makna. Apa yang lebih bermakna, berapa jumlah baki yang tinggal setelah ia dibelanjakan untuk diri sendiri, keluarga dan membayar bil-bil wajib setiap bulan.

Jika baki yang tinggal ke tahap sampai hendak tutup hidung, sesak walaupun baru beberapa hari menerima gaji, gaji yang banyak pun hanya nampak cantik pada slip gaji.

Jadi, pengurusan kewangan itu penting. Berilah apa jua bantuan kewangan, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) yang kini diperluas kepada individu bujang berusia 21 tahun ke atas dengan pendapatan kurang RM2,000, bonus, baucar Buku 1Malaysia atau bantuan RM100 untuk setiap murid sekolah rendah dan menengah, jika bantuan ini disalah guna atau digunakan untuk perkara-perkara lain, tentu sekali tidak dapat membantu.
Bajet 2013 yang baru dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lalu, walaupun dihentam macam-macam oleh pihak pembangkang, tetapi yang penting kesan dan manfaatnya kepada orang ramai.
Cakaplah apa yang mereka hendak cakap kerana yang menerima dan menanggung beban kos sara hidup adalah rakyat. Pembangkang hanya tahu bercakap dan mengutuk. Tidak membantu pun. Diberi bantuan pun teruk kena kutuk, apatah lagi jika tidak diberi langsung.
Jadi kepada rakyat yang termasuk dalam kategori yang menerima habuan daripada Bajet 2013, terimalah dengan rasa bersyukur. Pada masa yang sama, uruskanlah bantuan berkenaan sebaik-baik mungkin.
Kepada kakitangan awam, tentunya mereka menerima banyak keistimewaan berbanding pekerja-pekerja swasta dalam Bajet 2013 ini. Bonus satu setengah bulan sudah dikira cukup menarik, berbanding pekerja swasta yang ada sesetengahnya hendak dapat satu bulan bonus pun seperti terpaksa masuk ke medan peperangan.
Jadi amatlah luar biasa fitrahnya, apabila segelintir daripada mereka yang mendapat macam-macam keistimewaan ini termasuk duduk di kuarters kerajaan, mengutuk majikan di laman-laman sosial terutama pada waktu bekerja dengan menggunakan pula kemudahan komputer milik majikannya.
Dan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang bersekolah, tentunya berasa amat bersyukur kerana pemberian wang tunai RM100 untuk setiap murid diteruskan. Sedikit sebanyak beban dapat dikurangkan apabila musim persekolahan bermula pada tahun depan.
Memanglah jumlah RM100 bukannya banyak, tetapi untuk yang berpendapatan rendah, pemberian itu memberi banyak kesan kepada mereka.
Ada yang memperlekehkan pemberian itu dengan mengatakan terlalu sedikit, apa sangat yang boleh dibeli dengan RM100?; ini duit untuk beli jiwa dan macam-macam lagi. Tetapi bila tiba waktu untuk mengutipnya, tetap sanggup bermandi peluh, lenguh lutut, beratur panjang di sekolah anak.
Dan kalau pun rasa jumlah itu sedikit, kononnya tidak dapat membantu, ambil wang itu, berikan kepada yang betul-betul memerlukan. Sudah tentu dapat pahala bersedekah, daripada merungut-rungut dan mengutuk si pemberi.
Dalam pengurangan subsidi gula pula, perkara ini perlu diambil perhatian. Memanglah cadangan mengurangkan pengambilan gula itu amat baik sekali, demi untuk menjaga kesihatan. Tetapi yang tidak baiknya, kita bimbang peniaga-peniaga di restoran nanti termasuk penjual kuih di tepi jalan turut panjang akal menaikkan harga makanan.
Jadi, pemantauan terutamanya daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan amat diperlukan supaya rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga makanan pula. Nanti tidak pasal-pasal pula harga barangan keperluan lain yang tidak ada kena mengena dengan gula turut dinaikkan oleh peniaga-peniaga yang hanya menunggu peluang dan ruang untuk menaikkan harga barang.
Berbalik soal menguruskan kewangan, mahu atau tidak, setiap daripada kita perlu membuat perancangan bajet bulanan sendiri untuk menentukan keluarnya pendapatan bulanan itu ke mana perginya.
Urusan keluar masuk wang sepatutnya dihitung betul-betul. Adakah wang itu keluar untuk membiayai keperluan, bil-bil dan berapa banyak perbelanjaan digunakan untuk hal-hal berkaitan berlibur (sekiranya ada baki untuk itu). Dan berapa pula yang boleh disimpan untuk waktu-waktu kecemasan.
Sekiranya kita terus berbelanja secara selagi tidak habis, apa sahaja yang kita peroleh, termasuk bantuan yang jumlahnya kecil atau besar, tentunya tidak mencukupi. Dan itu yang menjadikan ramai yang sentiasa berasa tidak puas hati dan merungut dengan imbuhan yang diberikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Semua Komen Amat Dihargai. Terima Kasih