TiaDa KaTa SeiNdaH BaHAsA...SelamAt DaTanG ke PenaMaNja.BloGsPot.CoM

Rabu, 21 November 2012

UMAT ISLAM DITINDAS,PAS TERPESONG

Views
SEMASA seluruh umat Islam di seluruh dunia berkabung dengan kematian puluhan umat Islam di Palestin baru-baru ini akibat 466 serangan udara zionis yang tidak berhati perut, di negara ini dua tragedi telah melanda umat Islam. Yang pertama apabila ada pihak yang menafsir surah suci al-Quran dengan menjustifikasikan tindakan umat Islam dan orang Melayu untuk menganut apa sahaja fahaman yang mereka ingini.
Keduanya, apabila wujudnya satu parti politik yang kononnya memperjuangkan kesucian Islam tergamak membuat doa laknat kepada parti melayu dan Islam lain.
Jika kita masih ingat kenyataan Pengasas Pergerakan Islam Palestin 1948, Sheikh Raed Solah, yang dilaporkan dalam suratkhabar keramat orang melayu ini pada 6 September tahun ini. Perkembangan terkini yang melanda dunia Arab termasuk pelantikan Mohammed Morsi sebagai Presiden Mesir yang baru akan membantu kepada perubahan ke arah pembebasan Palestin dan Masjid al-Aqsa.
Mengulas mengenai Malaysia, Sheikh Raed berkata, rakyat negara ini harus bersyukur dengan nikmat kemerdekaan yang dikecapi hasil daripada perjuangan pemimpin mereka selama ini. Dalam hal ini, beliau mengingatkan rakyat Malaysia bagaimana kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat Palestin akibat dijajah.
Dalam pengkisahannya, beliau berkata, setengah juta rakyat Arab Palestin dipenjarakan, kubur-kubur nenek moyang diceroboh untuk didirikan sekolah manakala masjid dijadikan tempat menjual arak.
Katanya lagi, adakah keamanan dan ketenangan jiwa dapat dirasai sekiranya perkara itu berlaku di negara ini.
Jika kita meneliti kisah Sheikh Raed dan serangan bertali arus zionis ke atas Gaza adakah kita tergamak menggunakan ayat-ayat Allah SWT untuk menjahanamkan umat Islam dan akidah mereka. Sampai bila orang Melayu harus bercakaran demi mengejar Putrajaya dan kuasa yang bersifat fana di dunia ini.
Tidakkah ulama Pas belajar dari tragedi yang melanda Palestin yang bukan berlaku setahun dua tetapi sudah hampir 65 tahun. Tidakkah juga pemimpin yang mempergunakan Islam tidak kira pemimpin Melayu, bukan Islam dan lain-lain Ulama siasah Al-Madrasah berasa bimbang dengan perpecahan yang melanda rakyat negara ini atas nama perebutan kuasa. Lupakah kita siapa yang ingin benar melelong Putrajaya jika parti Pas dapat memerintah negara. Siapa juga yang ingin melaksanakan hudud yang mana dalam masa yang sama kawan-kawan satu pakatan menyuruh mayatnya di langkah dahulu baru ia boleh dilaksanakan.
Lupakah kita siapa yang memerintah Terengganu selama satu penggal namun tidak pun melaksanakan hudud. Lupakah kita siapa yang memerintah Kelantan selama 22 tahun tetapi sesi penerangan hukum hudud dalam kalangan rakyat tidak pernah dilakukan. Bukankah ini satu tragedi kepada umat Islam di negara ini selain tragedi yang melanda umat Islam Palestin. Menjadikan hukum Allah SWT sebagai modal politik tidak bersempadan.
Sepatutnya semasa muktamar mereka baru-baru ini, ulama Pas mendoakan agar orang Palestin diselamatkan dan dilindungi Allah SWT. Sebaliknya ulama Pas memilih untuk mengaminkan doa agar UMNO dan Barisan Nasional dilaknat oleh Allah SWT sebagaimana yang berlaku kepada Abu Lahab dan Firaun.
Adakah selama 55 tahun UMNO menjadi tulang belakang BN, negara kita tidak dirahmati oleh Allah SWT. Adakah selama ini gaji Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri datang dari hasil sumber pentadbiran yang haram?
Ulama dalam Pas harus ingat, doa laknat yang dibaca oleh mereka dan diaminkan oleh mereka akan dipulangkan oleh Allah SWT jika mereka terus bersekongkol dengan penyokong pluralisme dan liberalisme agama. Begitu juga kepada pemimpin mereka yang pantas memberi sokongan kepada kenyataan orang Melayu bebas beragama.
Musuh Islam akan lebih ghairah membunuh umat Nabi Muhammad SAW kerana orang UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang menjadi tulang belakang negara Islam Malaysia telah dilaknat mereka hingga tidak dapat lagi memberi bantuan kemanusiaan.
"Ya Allah, mudahkanlah perjalanan Barisan Nasional dan UMNO kekal di Putrajaya, kuburkanlah musuh-musuh Islam dan penyokong pluralisme dan liberalisme agama dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 ini (diulang sebanyak tiga kali). Ya Allah...Hukumkanlah musuh-musuh Islam Ya Allah.
"Kalau Kamu pernah tenggelamkan Firaun di dalam laut, Kamu izinkan bumi Mu telan Qarun. Ya Allah... Kamu telah laknat Namrud dan begitu juga Abu Lahab. Maka sungguh mudah untuk Kamu menjahanamkan penyokong pluralisme dan liberalisme agama dalam PRU-13," Amin adanya.
OLEH ABDUL RAZAK IDRIS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Semua Komen Amat Dihargai. Terima Kasih