KUALA LUMPUR 5 Sept. - Tokoh-tokoh sejarah menyifatkan dakwaan kumpulan yang mengibarkan bendera Sang Saka Malaya pada Himpunan Janji Bersih Khamis lalu kononnya ia bendera asal Tanah Melayu, sebagai dangkal dan jahil terhadap sejarah negara ini.
Ini kerana kata mereka, Tanah Melayu tidak pernah menggunakan bendera seiras Singapura itu sebagai bendera rasmi biarpun ketika dijajah oleh kuasa luar.
Sebaliknya, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, warna merah putih yang dinamakan Sang Saka itu adalah bendera yang digunakan kumpulan penyokong pembentukan Indonesia Raya, yang sentimennya dimulakan di Tanah Melayu pada 1938 oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan Ibrahim Yaakob.
Bekas Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu menjelaskan, matlamat KMM pada waktu itu adalah menggabungkan Tanah Melayu dengan republik Indonesia bagi membentuk Melayu Raya untuk mencapai kemerdekaan.
Bagaimanapun, majoriti orang Melayu di Tanah Melayu ketika itu menolak perjuangan mereka kerana orang Melayu kukuh mendukung institusi Raja-Raja Melayu dan Islam menyebabkan majoriti memilih perjuangan UMNO," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan blogger Singa Selatan yang mengaku membawa Sang Saka Malaya pada perhimpunan tersebut kerana beranggapan ia adalah simbolik panji perjuangan dalam menuntut kemerdekaan di Tanah Melayu.
Pada perhimpunan berkenaan, risalah menggesa Jalur Gemilang ditukar kepada bendera tersebut turut diedarkan.
Jelas Ramlah, setelah KMM diharamkan, ideologi itu diteruskan pula oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Mokhtaruddin Lasso, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ahmad Boestamam.
Mereka menggunakan bendera Sang Saka dalam ceramah mereka, namun perjuangan mereka ditolak majoriti rakyat Tanah Melayu. Kini, saki-baki pendukung ideologi itu cuba menghidupkannya semula," ujarnya.
Pendapat sama turut dikongsi seorang lagi pakar sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim yang melihat dakwaan itu sebagai syok sendiri serta salah satu cubaan untuk menukar pemahaman sejarah rakyat negara ini.
Katanya, bukan kumpulan tersebut yang menentukan bendera bagi negara ini kerana majoriti rakyat telah sebulat hati menerima Jalur Gemilang bagi mewakili mereka sejak 55 tahun negara mencapai kemerdekaan.
Yang ada dahulu sebelum Merdeka adalah bendera mewakili kerajaan sahaja, kerana sebelum 1957, tiada lagi negara bangsa seperti sekarang. Justeru, jangan kita dikelirukan oleh tanggapan segelintir kecil pihak yang mahu mengembalikan nostalgia KMM dan PKMM itu," kata beliau.
Utusan Malaysia 6/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Semua Komen Amat Dihargai. Terima Kasih